AM

KUSKOP Belanja Hampir RM3 Bilion Perkasa Usahawan Bumiputera Sejak 2023 - Sim

30/06/2026 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membelanjakan hampir RM3 bilion bagi melaksanakan pelbagai program khusus untuk memperkasakan usahawan Bumiputera dari 2023 hingga 2025.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata keberkesanan perbelanjaan itu diukur menerusi beberapa indikator hasil, antaranya peningkatan jualan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam kalangan peserta serta 150 syarikat berjaya meningkatkan saiz perniagaan mereka.

“Berhubung pulangan atau return of investment kerajaan, kementerian mengukur keberkesanan program pemerkasaan dan keseluruhan perbelanjaan daripada pelbagai outcome indicator atau hasil yang nyata terhadap peserta,” katanya.

Sim berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berkaitan peruntukan dibelanjakan KUSKOP bagi program pemerkasaan Bumiputera dan pulangan kepada  kerajaan yang diukur melalui penciptaan pekerjaan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, kementerian telah meluluskan pembiayaan bernilai RM5 bilion yang memanfaatkan hampir 180,000 usahawan pelbagai kaum dan kategori perniagaan di seluruh negara.

Beliau berkata bagi tempoh 2025 hingga Mei 2026, program khusus untuk usahawan Bumiputera menerusi agensi di bawah KUSKOP telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.407 bilion kepada lebih 53,000 usahawan Bumiputera.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 11,469 belia Bumiputera menerima manfaat dengan peruntukan melebihi RM251 juta,” katanya.

Sim berkata kementerian turut menerapkan elemen pembangunan industri halal menerusi pelbagai program melalui agensinya bagi membantu usahawan mendapatkan pensijilan halal untuk memperluas pasaran.

Berhubung cadangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkaitan sistem pangkalan data nasional atau mekanisme single window (tetingkap tunggal) bagi penyelarasan bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Sim berkata KUSKOP telah melantik SME Corp Malaysia sebagai agensi penyelaras.

“SME Corp dijadikan pusat sehentian untuk menyelaraskan dari segi pembiayaan, geran, dana dan sistem sokongan yang lain. SME Corp juga berperanan memudahkan cara memberikan maklumat, menyalurkan pemohon dan PMKS ke agensi bersesuaian,” katanya.

Sim berkata KUSKOP juga melaksanakan inisiatif untuk membangunkan sebuah laman sesawang atau portal sebagai pusat sehentian untuk menyenaraikan pelbagai jenis sokongan yang disediakan lebih 60 agensi kerajaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574848