DUNIA

Laos Jadikan Malaysia Contoh Pembangunan Pelancongan Sempena 60 Tahun Hubungan Diplomatik

01/07/2026 10:29 AM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Laos sentiasa menganggap Malaysia sebagai rakan paling rapat dan berharga sejak kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik enam dekad lalu, kata Duta Besar Laos ke Malaysia Thepthavone Sengmany.

Menurut beliau, Malaysia telah memberi sumbangan yang signifikan kepada Laos, khususnya dalam pembangunan modal insan serta pembangunan sosial dan ekonomi.

"Sepanjang enam dekad lalu, hubungan Laos-Malaysia berkembang kukuh berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan persefahaman yang mendalam. 

Pada pandangan saya, kekuatan terbesar hubungan ini terletak pada keikhlasan persahabatan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi antara kedua-dua negara, sama ada di peringkat dua hala mahupun dalam forum serantau, khususnya dalam keluarga ASEAN.

"Melangkah ke hadapan, masih terdapat ruang yang luas untuk memperkukuh kerjasama ekonomi agar seiring dengan hubungan politik yang amat baik antara kedua-dua negara," katanya kepada Bernama dalam temu bual di pejabatnya sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Laos-Malaysia.

Laos dan Malaysia menjalin hubungan diplomatik pada 1 Julai 1966. Laos membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada 8 Ogos 1991, manakala Malaysia menubuhkan kedutaannya di Vientiane pada 4 Jun 1992.

Thepthavone berkata kerjasama pelaburan antara kedua-dua negara masih mempunyai potensi besar untuk terus diperkembangkan.

Beliau berkata Malaysia kini merupakan pelabur asing kelima terbesar di Laos selepas China, Thailand, Vietnam dan Korea Selatan, selain berharap lebih banyak peluang dapat diwujudkan bagi merancakkan lagi pelaburan dua hala pada masa depan.

Menurut beliau, sejak hampir dua tahun lalu, beliau memberi tumpuan memperkukuh perdagangan dua hala yang mencatat nilai kira-kira US$50 juta tahun lepas.

Beliau yakin jumlah itu menyediakan asas kukuh bagi kedua-dua negara memperluas kerjasama ekonomi serta membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan.

 

PELAJARI KEJAYAAN MALAYSIA DALAM SEKTOR PELANCONGAN

 

Menurut Thepthavone, sektor pelancongan merupakan antara bidang yang ingin dipelajari Laos daripada Malaysia.

"Tahun lepas, Malaysia merekodkan ketibaan pelawat antarabangsa yang melebihi jumlah penduduknya. Laos, yang memiliki empat Tapak Warisan Dunia UNESCO, ingin mempelajari bagaimana Malaysia mencapai kejayaan itu," katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk negara ini dianggarkan 34.3 juta pada suku keempat 2025, manakala ketibaan pelawat antarabangsa bagi keseluruhan tahun mencecah 42.2 juta.

Thepthavone berkata Laos menerima 4.6 juta pelancong asing pada 2025, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya serta melepasi sasaran awal kerajaan iaitu 4.3 juta pelawat antarabangsa.

Dengan jumlah penduduk sekitar lapan juta orang, Laos terus berusaha membangunkan sektor pelancongannya dengan mencontohi kejayaan Malaysia dalam bidang berkenaan.

 

LEPASAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA PEGANG JAWATAN KANAN DI LAOS

 

Thepthavone berkata hubungan rakyat dengan rakyat serta kerjasama pendidikan antara Laos dan Malaysia telah lama terjalin dan membawa manfaat yang berkekalan kepada kedua-dua negara.

Sejak awal 2000-an, ratusan pelajar Laos telah menerima tajaan daripada kerajaan Laos dan Malaysia untuk melanjutkan pengajian di universiti di Malaysia.

"Hari ini, ramai graduan universiti di Malaysia memegang jawatan kanan dalam sektor awam dan swasta di Laos, termasuk sebagai Timbalan Menteri dan Ketua Pengarah," katanya.

Beliau berkata walaupun program tajaan kerajaan Laos digantung sementara ketika pandemik COVID-19 berikutan kekangan kewangan, Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan utama pelajar Laos kerana sistem pendidikan berkualiti tinggi serta reputasinya yang kukuh di ASEAN.

Ketika ini, kira-kira 20 pelajar Laos yang membiayai sendiri pengajian sedang menuntut di Malaysia, katanya.

Selain itu, Thepthavone berkata lebih 2,000 peserta dari Laos telah mendapat manfaat menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) sejak diperkenalkan, melalui bengkel khusus, penempatan latihan amali serta program latihan yang dibiayai sepenuhnya.

"MTCP terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan kapasiti institusi di Laos dan kami berharap kerjasama ini dapat diperluaskan dalam sektor baharu seperti ekonomi digital, kewangan dan pembuatan berteknologi tinggi," katanya.

 

PERTUKARAN LAWATAN PEMIMPIN SEMPENA ULANG TAHUN KE-60 HUBUNGAN DIPLOMATIK

 

Thepthavone berkata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Laos Thongsavanh Phomvihane dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bulan depan bagi memperkukuh kerjasama dua hala serta memajukan inisiatif baharu antara kedua-dua negara.

Beliau berkata Laos juga merancang menganjurkan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Kerjasama Dua Hala Laos-Malaysia (JCBC) keempat pada penghujung tahun ini serta mengalu-alukan kehadiran delegasi Malaysia ke Vientiane.

Menurut beliau, pertukaran lawatan peringkat tinggi serta mekanisme institusi itu akan menjadi tonggak penting dalam membimbing hubungan Laos-Malaysia untuk beberapa dekad akan datang.

Ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Laos-Malaysia bukan sahaja menjadi simbol kejayaan yang dicapai sepanjang enam dekad lalu, malah menandakan permulaan kepada kerjasama yang lebih erat dan dinamik antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2575167