AM

Kerajaan Peruntuk RM10 Juta Bagi Projek Khas Perumahan Nelayan

01/07/2026 04:40 PM

TUMPAT, 1 Julai (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM10 juta pada tahun ini bagi melaksanakan Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di seluruh negara sebagai usaha meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi komuniti nelayan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata peruntukan itu dilaksanakan oleh LKIM dengan melibatkan dua komponen utama iaitu pembinaan rumah baharu dan kerja-kerja baik pulih rumah nelayan yang layak.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu, lebih RM6.8 juta digunakan bagi kerja baik pulih 344 rumah nelayan di seluruh negara, manakala lebih RM3.1 juta lagi diperuntukkan untuk pembinaan 36 rumah baharu.

"Setakat ini, menerusi peruntukan yang diberikan pelaksanaan projek baik pulih rumah kini mencapai kira-kira 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos atau September tahun ini.

"Sementara bagi pembinaan rumah baharu pula, projek dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini. Pelaksanaannya mengambil sedikit masa kerana melibatkan urusan pemilikan tanah termasuk tanah pusaka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra MADANI LKIM Bersama Nelayan Negeri Kelantan di Kompleks Pemeriksaan Ikan, Pengkalan Kubor, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah LKIM Kelantan Sobri Ibrahim.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata bagi projek pembinaan rumah baharu, kerajaan memperuntukkan RM84,000 bagi setiap unit di Semenanjung, manakala RM95,000 bagi setiap unit di Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan turut menyediakan peruntukan sehingga RM20,000 bagi setiap rumah nelayan yang dibaik pulih di bawah program berkenaan. Di Kelantan sahaja, sebanyak RM388,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan PKPN pada tahun ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz berkata pihaknya kini mahu menggalakkan golongan nelayan menceburi bidang akuakultur sebagai sumber pendapatan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti penangkapan ikan secara konvensional.

Beliau berkata langkah itu penting memandangkan sumber perikanan semakin berkurangan selain kos operasi menangkap ikan yang semakin meningkat, khususnya melibatkan penggunaan bahan api, walaupun kerajaan masih mengekalkan subsidi kepada nelayan.

"Kita mahu nelayan melibatkan diri dalam perniagaan mahupun sektor akuakultur dan tidak terlalu bergantung kepada sektor tangkapan ikan secara konvensional.

"Kerajaan menyasarkan menjelang 2030, sebanyak 40 peratus daripada pengeluaran ikan negara disumbangkan oleh sektor akuakultur. Rugi sekiranya nelayan tidak merebut peluang untuk melibatkan diri dalam bidang akuakultur," katanya.

Beliau berkata bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan menerusi LKIM telah memperuntukkan RM400,000 kepada Persatuan Nelayan Negeri Kelantan (Peneka) bagi memulakan projek akuakultur iaitu ternakan udang dalam tangki. 

"Inisiatif berkenaan akan terus diperluaskan ke negeri-negeri lain bagi meningkatkan pengeluaran hasil akuakultur negara, di samping memperkukuh sumber pendapatan komuniti nelayan," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2575357