AM

Tragedi Gerik Berulang, Ibu Gajah Enggan Berganjak Tujuh Jam Selepas Anak Mati

01/07/2026 07:37 PM

 JOHOR BAHRU, 1 Julai (Bernama) -- Tragedi di Gerik, Perak pada 11 Mei tahun lepas yang meruntun jiwa dan emosi seluruh negara pada Hari Ibu seakan berulang hari ini apabila seekor anak gajah mati dilanggar kenderaan, manakala ibunya enggan berganjak selama tujuh jam di Jalan Felda Nitar, Mersing, awal pagi tadi.

Menerusi video tular di media sosial, gajah betina itu kelihatan enggan meninggalkan anaknya yang mati selepas dilanggar sebuah Perodua Bezza dalam kejadian pada 2.28 pagi.

Jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor yang mengesahkan kejadian itu berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 8.30 pagi sebelum empat anggotanya dihantar ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal.

Beliau berkata setibanya di lokasi, pihaknya mendapati seekor anak gajah betina dianggarkan berusia lima tahun telah mati akibat pelanggaran tersebut, manakala seekor gajah dewasa dipercayai ibunya masih berada di kawasan kejadian.

"Siasatan turut mendapati kumpulan gajah berkenaan dikenal pasti daripada ID Jamaluang-Mersing.

“Anak gajah itu dikenal pasti sebagai gajah betina dengan ukuran panjang badan kira-kira 150 sentimeter, tidak mempunyai gading serta lebar tapak kaki hadapan 11 inci dan tapak kaki belakang 14 sentimeter,” katanya.

Jurucakap Perhilitan itu berkata pasukan Unit Tangkapan Gajah daripada Pusat Santuari Gajah Johor (JES) turut membantu mengalihkan ibu gajah berkenaan ke dalam hutan, manakala bangkai anak gajah itu kemudian ditanam di kawasan berhampiran.

Beliau berkata pihaknya akan melakukan rondaan malam ini dan esok bagi memastikan keselamatan ibu gajah berkenaan serta mengelakkan haiwan itu daripada kembali ke lokasi kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan seorang lelaki tersepit dan cedera pada kaki apabila kereta dipandunya terbabas dan terjatuh ke gaung sedalam lima meter akibat terlanggar seekor anak gajah.

Beliau berkata sebelum ini, papan tanda amaran laluan gajah melintas juga telah dipasang di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut memandangkan ia agak gelap dan merupakan laluan gajah melintas.

Dalam kejadian di Gerik pada 11 Mei tahun lepas, tragedi seekor anak gajah terperosok di bawah sebuah lori kontena selepas dilanggar, manakala seekor gajah dewasa dipercayai ibunya dilihat cuba mengalihkan lori itu bagi menyelamatkan anaknya, tular di media sosial hingga mendapat respons pelbagai pihak mengenai konflik gajah dan manusia.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2575487