AM

PENYASARAN SUBSIDI DIESEL TIDAK BERI KESAN BERANTAI KEPADA SABAH, SARAWAK DAN LABUAN

10/06/2024 07:40 PM

PUTATAN, 10 Jun (Bernama) -- Langkah penyasaran subsidi diesel di Semenanjung yang bermula hari ini sepatutnya tidak memberi kesan berantai sehingga menyebabkan kenaikan harga barang keperluan di Sabah, Sarawak dan Labuan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata ini kerana kerajaan telah membantu peniaga dan pihak terbabit dengan pelbagai inisiatif terutama melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) dan inisiatif BUDI MADANI yang antara lain menampung kos pengangkutan barangan terlibat.

Beliau berkata menerusi SKDS 2.0, sebanyak 23 kategori kenderaan layak menerima bantuan fleet card termasuk pengangkutan barangan makanan, keperluan asas dan harian membolehkan mereka membeli diesel pada harga subsidi RM2.15 seliter selain pemberian RM200 sebulan kepada yang layak menerusi BUDI MADANI.

“Isu ini tidak tinggalkan kesan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan… saya lihat ia lebih kepada apakah mungkin ada kesan negatif tidak dijangka Kerajaan Persekutuan tetapi seperti kita jelaskan, kita telah ambil kira dan menilai perkara ini.

“Kita berusaha memastikan semua kenderaan terlibat dalam rantaian bekalan barangan termasuk hantar barangan ke Sabah, Sarawak dan Labuan terus mendapat subsidi manakala individu juga diberikan peluang dapatkan bantuan RM200 sebulan (menerusi BUDI MADANI),” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sembang Santai Komuniti MADANI Parlimen Putatan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan dan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor.

Fahmi berkata beberapa pihak telah memuat naik hantaran di laman sosial mendakwa peniaga terkesan dari segi kos pengangkutan dengan langkah penyasaran subsidi diesel, justeru beliau menasihati golongan itu agar mendapatkan maklumat berkaitan serta memohon SKDS 2.0 dan BUDI MADANI.

Beliau berkata mana-mana pihak tidak sepatutnya 'menangguk di air keruh' dengan menaikkan harga barang bagi meraih keuntungan keterlaluan sedangkan subsidi diesel masih mereka nikmati menerusi SKDS 2.0 kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

“Kita pohon sekiranya ada kelihatan peningkatan mendadak, mana-mana pihak mengambil kesempatan naikkan harga barang walaupun Sabah, Sarawak dan Labuan tidak berkesan, maklumkan kepada KPDN bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan segera,” katanya.

Mengulas pembinaan menara telekomunikasi Sabah, Fahmi berkata perkembangan positif dapat dilihat bulan lepas apabila syarikat terbabit berjaya menyiapkannya melepasi jumlah disasarkan.

“Ada satu syarikat janjikan 21 menara siap bulan Mei tetapi berjaya siapkan 26 menara dan saya alu-alukan semangat baru ini. Kita akan terus memantau perkara ini dan segerakan pembinaan bagi meningkatkan kemudahan telekomunikasi di Sabah,” katanya.

Beliau berkata terdapat sebahagian pembinaan itu dalam projek Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang tidak bersifat komersial sebaliknya peruntukan disediakan adalah untuk memberikan kemudahan Internet kepada rakyat maka ia perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan