AM

KPDN TERUS PANTAU AKTIVITI PENCATUTAN MELALUI OPS KESAN 2.0 - ARMIZAN

11/06/2024 06:50 PM

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memandang serius beberapa kenyataan pihak industri yang akan menaikkan harga perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menerusi satu kenyataan hari ini berkata kementeriannya sedang melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan berhubung perkara itu menerusi Ops Kesan 2.0 sejak 8 Jun lepas. 

“Pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan melalui platform-platform yang disediakan akan dilaksanakan berpandukan kepada Peraturan- peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Mengenai kenyataan tular menerusi media sosial kononnya berlaku kenaikan harga barang, Armizan berkata KPDN akan membuat siasatan segera meliputi dua aspek berhubung perkara terbabit. 

Bagi sektor yang tidak termasuk dalam 33 jenis pengangkutan awam dan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) seperti perkhidmatan tunda kenderaan dan penghantaran barangan binaan, beliau berkata KPDN akan mengeluarkan notis kepada pihak-pihak terbabit. 

“Serahan notis akan dilaksana di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk memastikan tidak berlakunya pelarasan harga yang mempunyai elemen pencatutan,” katanya.

Bagi sektor industri seperti pembinaan, beliau berkata KPDN akan melaksanakan siasatan alasan mereka perlu menaikkan harga perkhidmatan.

“Hal ini termasuk siasatan kemungkinan mereka mendapatkan sumber diesel bersubsidi secara tidak sah sebelum ini. Sektor industri seperti pembinaan yang sememangnya sejak dari dahulu tidak layak menggunakan diesel subsidi sebelum penyasaran subsidi dilaksanakan pada 10 Jun 2024,” katanya.

Armizan sebelum ini berkata sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan ‘fleet card’ di bawah SKDS. 

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter bermula semalam (10 Jun) iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan