AM

TIADA SEBAB MUNASABAH SEKTOR LOGISTIK NAIK HARGA - AMIR HAMZAH

12/06/2024 02:54 PM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Tiada sebab munasabah untuk aktiviti sektor logistik bertindak menaikkan harga yang boleh memberi kesan kepada rakyat susulan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata kerajaan sedang giat memastikan penyasaran subsidi mencapai objektifnya, terutama melibatkan pelaksanaan SKDS 2.0 yang membolehkan kenderaan logistik tertentu kekal memperoleh diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.

“Kerajaan mahu pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel berjalan dengan lancar dan akan sentiasa memantau perkembangan aktiviti sektor logistik kerana dengan pelaksanaan SKDS 2.0, tiada sebab munasabah untuk mereka bertindak menaikkan harga yang boleh mengesankan rakyat.

“Pembayaran semula secara tunai ini ialah langkah sementara kerajaan untuk terus membantu pembekal perkhidmatan logistik supaya tidak terkesan dengan perubahan harga runcit diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seperti yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, kerajaan telah membangunkan mekanisme interim melibatkan pembayaran semula secara tunai kepada pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0, tetapi belum mendapat fleet card.

Amir Hamzah berkata mekanisme ini merupakan kaedah sementara untuk menampung perbezaan harga antara harga runcit diesel baharu iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter.

Sementara itu beliau berkata pemilik kenderaan logistik yang diluluskan dan belum menerima fleet card boleh memohon pembayaran semula ini bermula pada 1 Julai melalui portal Budi MADANI di https://budimadani.gov.my dan pemohon hendaklah menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit.

“Untuk layak menerima pembayaran semula ini, pemilik kenderaan logistik hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada KPDN di bawah SKDS 2.0 selewat-lewatnya pada 30 Jun ini. 

“Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu,” katanya. 

Sehubungan itu beliau menyarankan semua pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0 untuk segera memohon fleet card secepat mungkin melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

-- BERNAMA


 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan