AM

AKTIVITI DIPERCAYAI BERKAITAN SELUDUP DIESEL BERKURANGAN DI SEMPADAN SEMENANJUNG - FAHMI

12/06/2024 05:58 PM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Pengamatan pasukan penguatkuasaan di lapangan ketika ini menunjukkan aktiviti membeli diesel terutama di kawasan sempadan Semenanjung seperti stesen-stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan dan Wang Kelian, Perlis, kini semakin berkurangan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri berkata adalah tidak mustahil tindakan penyeludupan (diesel) telah berjaya dikekang akibat langkah penyasaran semula subsidi yang dilaksanakan kerajaan.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika mengumumkan perkara itu Ahad lepas berkata dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Fahmi yang merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata mesyuarat Jemaah Menteri turut membangkitkan isu penyasaran subsidi diesel dengan peringatan tegas diberikan kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata peringatan turut diberikan kepada mana-mana sektor yang sebelum ini memang tidak langsung menerima subsidi diesel, namun kini cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dengan tidak semena-mena.

“Orang ramai muat naik gambar surat (di media sosial) .. kata beberapa produk atau beberapa perkara dan perkhidmatan akan mengalami kenaikan kos atas alasan mereka (sektor terlibat) tidak lagi menerima subsidi diesel, tetapi bila disemak semula mereka memang tidak layak (terima subsidi) sebelum ini.

“Kita serah pada KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) untuk tindakan tegas, dan Kabinet beri peringatan agar tidak ada pihak yang cuba ambil kesempatan naikkan harga, walhal kerajaan telah menitikberatkan agar tidak berlaku kenaikan harga terutama sektor makanan dan minuman serta barangan keperluan harian,” katanya.

Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah meminta agar isu berkaitan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di bawah KPDN diteliti dan sekiranya boleh, fleet card diedarkan secepat mungkin kepada semua pemohon.

“Peringatan juga diberikan kepada mereka yg memohon fleet card tapi belum lagi menerimanya untuk simpan resit dan ikut proses atau mekanisme yang diumumkan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai tatacara mendapatkan semula subsidi diesel bagi kenderaan yang telah didaftarkan dalam SKDS,” katanya.

SKDS merupakan platform khusus untuk kenderaan awam terpilih dan pengangkutan barangan untuk terus menerima subsidi diesel menerusi fleet card.

Mengenai permohonan subsidi diesel oleh pengusaha kenderaan pelancong seperti bas dan van, Fahmi memaklumkan perdana menteri juga telah meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk meneliti perkara itu.

“Ini bermaksud kepada mana-mana pihak rasa perlu ada intervensi kerajaan dan sekiranya wajar untuk dipertimbangkan (untuk terima subsidi) maka akan cuba dibantu,” katanya.

Sementara itu Fahmi berkata beliau berharap warganet tidak berhujah secara keterlaluan dalam media sosial sehingga mengatakan hasrat untuk mengakibatkan kecederaan kepada orang lain atau kerosakan harta benda.

Merujuk kepada isu seorang individu yang diugut akibat menyokong dasar kerajaan mengenai penyasaran subsidi diesel, beliau berkata trend ini tidak baik, dan beliau memohon agar pertukaran fikiran dan pandangan masing-masing dilakukan secara positif, tidak beremosi.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan