JENAYAH & MAHKAMAH

IMIGRESEN KOMITED TAMBAH BAIK KHIDMAT AUTOGATE DI PINTU MASUK UTAMA

17/06/2024 12:31 AM

PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia komited dalam menambah baik perkhidmatan autogate di pintu masuk utama di negara ini iaitu pergerakan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata dalam usaha penambahbaikan ini, pihaknya akan terus meneliti dan memperkemas proses kerja bagi meningkatkan mutu perkhidmatan. 

“Jabatan ini dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri juga dalam perancangan untuk menambah bilangan autogate bagi menampung permintaan penggunaannya yang semakin mendapat sambutan daripada pelawat asing ketika ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata pegawai Imigresen yang bertugas di pintu masuk diberi latihan secara berterusan dalam menguruskan kemasukan pelawat asing dan sentiasa diingatkan untuk menjalankan tugas selaras dengan prosedur kerja standard yang ditetapkan.

“Jabatan ini sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan mengalu-alukan cadangan penambahbaikan sebagai usaha berterusan untuk menambah baik kelancaran pergerakan di pintu masuk utama negara. 

“Ini merupakan komitmen jabatan untuk terus menyokong pembangunan ekonomi negara tanpa mengabaikan keistimewaan serta kemudahan untuk warganegara Malaysia,” katanya.

Ruslin berkata kemudahan itu, yang dibuka kepada pelawat asing bermula pada 1 Jun lepas, adalah selaras dengan pengumuman kerajaan agar penggunaan autogate di pintu masuk utama diperluas kepada 63 negara bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terutama setelah negara pulih daripada pandemik COVID-19.

Beliau berkata pada 2023, Jabatan Imigresen merekodkan jumlah ketibaan pelawat asing melebihi 30 juta orang.

“Kadar ini terus meningkat dan sehingga Mei 2024, lebih 13 juta pelawat asing direkod memasuki Malaysia untuk pelbagai tujuan. 

“Peningkatan ketibaan pelawat asing ini memerlukan proses yang efisien dan pantas tanpa berkompromi daripada aspek keselamatan negara,” katanya.

Ruslin berkata inisiatif itu terbukti berkesan dan berjaya mempercepat proses pelepasan kepada 10 hingga 15 saat berbanding 30 minit masa menunggu di kaunter manual sekali gus mampu mengurangkan kesesakan di balai ketibaan KLIA.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan