AM

12 WARGA UITM MULAKAN KAYUHAN 2,000KM BAWA HASRAT DAN ASPIRASI SETIAP CAWANGAN

20/06/2024 03:29 PM

SHAH ALAM, 20 Jun (Bernama) -- Sebanyak 12 peserta Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan sempena Sambutan 25 Tahun Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sebuah universiti, memulakan ekspedisi berkayuh mengelilingi Semenanjung hari ini bagi mengumpul penyataan hasrat dan aspirasi setiap cawangan untuk dikapsulkan.

Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar, pelajar dan kakitangan pentadbiran universiti itu akan berbasikal sejauh 2,000 kilometer (km) ke kampus di seluruh Semenanjung bermula dengan cawangan di Negeri Sembilan. 

Beliau berkata kayuhan selama dua minggu yang akan berakhir pada 2 Julai di UiTM Shah Alam akan mengumpul penyataan hasrat dan harapan daripada setiap cawangan sebelum dikapsul serta dipahatkan sebagai sebuah monumen yang akan dibina seterusnya dirasmikan semasa sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos nanti.

“Jelajah ini antara komitmen kami dalam mengambil maklum mengenai hasrat dan harapan setiap cawangan UiTM…insya-Allah akan ada kayuhan di Sabah dan Sarawak bagi melengkapkan keseluruhan kampus yang kita ada.

“… ia juga sebagai simbolik kepada komitmen kami untuk terus berjuang dalam menegak dan memperkasakan universiti keramat ini kekal relevan untuk keperluan bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan kayuhan bertemakan Menuju Kelestarian Alam Sekitar itu di sini hari ini. 

Shahrin berkata program itu turut mendapat penyertaan istimewa daripada Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan mencemar duli menyertai kayuhan UiTM Prihatin di UiTM Perlis pada 28 Jun.

Menurutnya Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pula berkenan untuk menyertai kayuhan penutup bermula di UiTM Puncak Alam ke UiTM Shah Alam pada 2 Julai. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan