AM

HASIL PELABURAN ASING PERLU DITERJEMAH MENERUSI PROGRAM, INISIATIF BERI MANFAAT KEPADA RAKYAT

20/06/2024 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Hasil kemasukan pelaburan asing yang besar ke dalam negara perlu diterjemahkan menerusi program serta inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ia juga menuntut penyertaan rakyat bagi menyahut dan mengambil manfaat menerusi inisiatif yang diperkenalkan hasil pelaburan asing seperti program MCMC-Microsoft AI Tech: Skills For AI-Enabled Economy.

“Kalau kita hanya katakan nilai pelaburan besar (ke dalam negara) tanpa mencerminkan apakah kebaikan dan mafaat pelaburan ini kepada rakyat, maka tak cukup cerita (hasil pelaburan) ini.

“Dengan program seperti (MCMC-Microsof AI Tech) ini, kita perlu terjemah pengumuman besar, angka pelaburan (asing) menerusi apa manfaatnya kepada rakyat,” katanya dalam ucapan perasmian program MCMC-Microsoft AI Tech: Skills For AI-Enabled Economy di sini hari ini.

MCMC-Microsoft AI TEACH merupakan program pembangunan kapasiti dalam Kecerdasan Buatan (AI), yang dibangunkan hasil kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Microsoft Malaysia.

Pada 2 Mei lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat Microsoft untuk melabur AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang di Malaysia, sekali gus akan menyokong fokus kerajaan kepada pembangunan keupayaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam negara.

Sementara itu Fahmi berkata sebagai permulaan program MCMC-Microsoft AI TEACH akan memberi latihan dan persijilan kemahiran AI kepada 1,600 peserta yang terdiri daripada ahli komuniti berhampiran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), khususnya golongan rentan.

Beliau berkata program itu juga dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran peserta melalui inisiatif padanan pekerjaan MyFutureJobs bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Selepas ini akan diperluaskan penyertaan rakyat di seluruh kawasan dengan NADI sebagai lokasi untuk mereka menyertai kelas dan modul yang disediakan… kita mahu rakyat di luar bandar dan pinggir bandar turut mendapat manfaatnya,” katanya.

Selain penyediaan kemudahan internet yang baik, Fahmi berkata kerajaan juga mahu rakyat memanfaatkan dan menggunakan teknologi AI dengan penuh beretika dan tidak menggunakannya bagi tujuan jenayah seperti manipulasi gambar atau deep fake.

“Bagi saya, adalah penting untuk orang ramai faham bagaimana menggunakan A secara beretika. Kita tidak mahu orang ramai misalnya memplagiat, terutama dalam membuat homework atau coursework, tapi pada masa yang sama kita tidak seharusnya tertipu oleh penyalahgunaan AI untuk menghasilkan contohnya kandungan palsu,” katanya.

Pada majlis itu Fahmi turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan Microsoft Malaysia yang bertujuan meneroka manfaat sosioekonomi AI, termasuk usaha mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan dengan ilmu pengetahuan mengenai AI.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan