BERITA TERGEMPAR   PM Anwar ulangi pendirian Malaysia kekal tegas dalam isu Gaza | 
 AM

JOHOR RANGKA GARIS PANDUAN PEMBANGUNAN PUSAT DATA NEGERI

21/06/2024 12:13 PM

JOHOR BAHRU, 21 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia@Johor) merangka Garis Panduan Perancangan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor bagi menyelaras serta memantau perancangan pembangunan pusat data. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han menerusi hantaran di Facebook berkata inisiatif itu dilaksanakan sebagai panduan dan rujukan yang seragam kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi terlibat. 

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPDNJ) itu, semalam. 

Beliau berkata antara fungsi jawatankuasa itu termasuk memberi nasihat mengenai hal berkaitan pembangunan pusat data sebelum permohonan dipertimbangkan PBT dan membuat pengesyoran bagi pembangunan pusat data di bangunan sedia ada atau terbiar.

"Ahli jawatankuasa JPPDNJ terdiri daripada agensi negeri dan Persekutuan termasuk Bahagian Perancangan Ekonomi Johor, Invest Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ranhill SAJ, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Alam Sekitar serta Plan Malaysia yang bertindak sebagai sekretariat," katanya.

Lee berkata jawatankuasa itu memutuskan agar pusat-pusat data di Johor perlu memberikan fokus kepada penggunaan teknologi yang boleh diperbaharui selain menjimatkan tenaga elektrik serta air dengan penggunaan yang efisien.

"Dalam hal ini, kerajaan negeri akan tetap meneruskan polisi mesra pelaburan memandangkan pembangunan pusat data merupakan antara keperluan utama dalam peningkatan penggunaan teknologi dan digital kesan daripada perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan Kecerdasan Buatan (AI) yang dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan agensi Persekutuan seperti MIDA dan MDEC antaranya untuk mengembangkan ekosistem digital serta menarik pelaburan syarikat teknologi berkaitan dan berasaskan AI ke Johor.

Hal itu katanya akan mewujudkan peluang pekerjaan dalam bidang teknologi, kejuruteraan, pengurusan data dan sokongan infrastruktur.

Menurut Lee sembilan pusat telah berjaya dilaksanakan dengan jumlah kapasiti hampir 1,280 Megawatt (MW) setakat ini, manakala enam projek dalam pembinaan dengan unjuran kapasiti hampir 1,490 MW, selain lebih 30 projek di pelbagai peringkat perbincangan dan kelulusan. 

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan