AM

KEDUTAAN PERANCIS ANJUR HARI SUKAN 'GRAINES DE CHAMPIONS' PUPUK PERPADUAN, KETERANGKUMAN, PERSAHABATAN 

21/06/2024 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Kedutaan Perancis di Malaysia telah menganjurkan acara 'Graines de Champions' di Invictus Springs Hill (sebelum ini dikenali sebagai Repton International School) di Johor pada 12 Jun lepas, yang menekankan kepada kepentingan keterangkuman, persahabatan dan perpaduan melalui budaya sukan.

Dengan kerjasama Invictus Springs Hill School dan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman acara itu bertujuan memupuk pembelajaran bahasa Perancis di Malaysia dan mewujudkan ruang untuk pertukaran antara budaya.

Pejabat kedutaan itu berkata tahun ini cukup istimewa bagi Perancis kerana ia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas ke-33 dan Sukan Paralimpik ke-17, yakni seratus tahun selepas ia menjadi tuan rumah kepada Sukan Olimpik Paris 1924.

“Selaras dengan ini, kedutaan Perancis di Malaysia berharap dapat memperluaskan pemahaman kepada orang ramai mengenai kepentingan sukan serta keterangkuman gender dan budaya, di samping menekankan bahawa sukan adalah untuk semua,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kedutaan itu berkata sukan bertindak sebagai tumpuan bagi mempelajari kepentingan setiakawan dan semangat kesukanan di samping membentuk individu untuk memiliki nilai kerja berpasukan, saling menghormati dan empati.

Acara sehari 'Graines de Champions' itu menghimpunkan 120 pelajar dari lima sekolah awam di Johor iaitu Sekolah Menengah Sains (SMS) Sembrong, Sekolah Tun Fatimah, SMS Kota Tinggi, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar, dan SMS Batu Pahat, bersama 30 pelajar dari Invictus Springs Hill.

"Sesi pagi dikhususkan kepada beberapa siri pertandingan sukan daripada bola tampar, bola sepak, ping pong, dan renang sehingga ke badminton, bola keranjang, trek dan padang, dan petanque manakala sebelah petang merangkumi aktiviti pedagogi dan interaktif yang tertumpu kepada bahasa Perancis," menurut kenyataan itu.

Tiga pasukan pemenang teratas menerima hadiah istimewa daripada jenama sukan Decathlon dan Kedutaan Perancis di Malaysia, serta pingat dan trofi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan