AM

NAHAS BERHAMPIRAN JAMBATAN BAILEY: PELAN PENGURUSAN TRAFIK DILAKSANAKAN - JKR

21/06/2024 01:00 PM

KUANTAN, 21 Jun (Bernama) -- Pelan Pengurusan Trafik (TMP) bagi Laluan Persekutuan (FT12) di Seksyen 102 Lebuhraya Kuantan-Segamat telah dilaksanakan dari kedua-dua arah bagi meningkatkan tahap keselamatan selain sebagai makluman dan amaran awal kepada pengguna.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan memaklumkan TMP yang dipasang adalah mengikut prosedur dan spesifikasi iaitu penyediaan papan tanda sementara (lencongan, had laju dan had muatan), penyediaan garisan jalan sementara serta penghadang jalan.

“JKR juga telah menyediakan beberapa inisiatif tambahan seperti mengadakan speed bump bagi mengurangkan had laju kenderaan dan memasang lampu solar di sekitar laluan lencongan untuk meningkatkan pencahayaan serta tahap keselamatan terutamanya pada waktu malam,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas berkenaan kemalangan di laluan lencongan sementara tersebut melibatkan seorang lelaki meninggal dunia di lokasi kejadian selepas lori dipandunya terbabas dan terjunam masuk ke lubang jalan yang mendap berhampiran jambatan Bailey pada Rabu lepas.

Pada awal Januari lepas, laluan berkenaan telah ditutup kepada semua kenderaan berikutan mendapan struktur bebo arch culvert akibat banjir dan susulan itu, satu laluan lencongan dan jambatan sementara (jambatan Bailey) telah dibina bagi memastikan rangkaian perhubungan jalan raya tidak terputus.

Menurut kenyataan itu JKR menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

JKR juga memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan proses perolehan bagi kerja penggantian jambatan kekal di lokasi itu, selain memohon semua pengguna jalan raya di laluan tersebut lebih berhati-hati serta mematuhi papan tanda dan had laju yang telah ditetapkan demi keselamatan bersama.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan