AM

700 MURID SEKOLAH RENDAH DI KLANG BELAJAR ILMU KEWANGAN DI KARNIVAL CHA-CHING

21/06/2024 07:13 PM

SHAH ALAM, 21 Jun (Bernama) -- Peneraju sektor insurans, Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan Yayasan Prudence hari ini berkongsi ilmu kewangan dengan 700 murid sekolah rendah sekitar Klang di sini melalui Karnival Cha-Ching.

PAMB dalam kenyataannya memaklumkan kumpulan murid dari lima sekolah rendah itu belajar mengenai konsep penting kewangan iaitu “Dapat, Simpan, Belanja dan Derma” menerusi aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif.

“Murid berkenaan dibimbing oleh 50 sukarelawan daripada Prudential dan pejabat Ahli Undangan Negeri,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan karnival yang dilancarkan hari ini di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Prempuan Klang adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat PAMB bagi membina daya tahan kewangan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di negara ini. 

PAMB turut menyatakan komitmennya untuk menganjurkan empat lagi Karnival Cha-Ching iaitu di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Johor, dengan menyasarkan 3,000 murid daripada 30 sekolah rendah.

Cha-Ching merupakan program celik kewangan yang dilaksanakan PAMB menerusi Yayasan Prudence sejak 2014, untuk kanak-kanak atau pelajar sekolah berusia 7 hingga 11 tahun.  

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan