AM

JURUKAMERA RTM CEDERA DITEMBAK ANTARA PENERIMA SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA

22/06/2024 09:42 PM

BUTTERWORTH, 22 Jun (Bernama) -- Hasrat jurukamera sambilan RTM di Pulau Pinang untuk membuat liputan akhirnya bertukar tragedi apabila menjadi bahan berita selepas terkena sedas tembakan di bahu kiri dalam insiden seorang pengawal peribadi mengamuk sebelum menembak mati majikannya pada 1 Dis 2016.

Mohamad Amirul Amin Mohamed Amir, 36, yang telah berkhidmat di RTM selama 15 tahun, berkata beliau telah dimasukkan ke hospital lebih lima kali sejak insiden di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu itu kerana mengalami serangan jantung.

Beliau adalah antara tiga penerima Tabung Kasih@HAWANA yang sedang diuji dengan masalah kesihatan di Pulau Pinang hari ini dan melahirkan rasa kesyukuran atas perhatian yang diberikan.

"Pada bulan Mei lepas, saya telah membuat persiapan untuk menyertai sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Sarawak namun dua hari sebelum bertolak, saya mengalami serangan jantung dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang.

"Saya bersyukur dan terharu kerana walaupun saya cuma jurukamera sambilan, pihak HAWANA tetap menyantuni saya dengan memberikan bantuan," katanya kepada Bernama selepas menerima sumbangan itu di sini.

Dalam kejadian 7.15 malam 1 Dis 2016, tiga lelaki termasuk ahli perniagaan Datuk Ong Teik Kwang, 32, maut manakala lima lagi termasuk Mohamad Amirul Amin cedera akibat peluru sesat daripada tembakan yang dilepaskan oleh pengawal peribadi Ong.

Mohamad Amirul Amin ditembak ketika cuba membantu mangsa yang disangka terlibat dalam nahas jalan raya dan ketika kejadian, beliau bersama seorang rakannya yang juga wartawan dalam perjalanan ke majlis perasmian Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang dalam rangka lawatan sehari ke Pulau Pinang menyantuni dan memberikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada tiga warga media di negeri itu serta bantuan Ziarah Seni MADANI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kepada seniman era 60-an Rocky Din, atau nama sebenarnya Mohd Hashim Sharif, 75.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang BERNAMA Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang Iskandar Othman.

Turut menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA ialah wartawan sambilan akhbar Sin Chew Daily, Chew Sin Chye, 62, yang menghidap penyakit jantung dan bekas wartawan media dalam talian Alai Oli, Santhiah Arokiasamy, 74, yang menghidap sakit jantung sejak 2005. 

Selain wang tunai, mereka menerima barangan daripada Syarikat Pakaian Hari-Hari dan Aeon Big.

Fahmi berkata penerima sumbangan hari ini adalah antara 110 rakan media yang telah menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif itu diperkenal pada April tahun lepas. 

"Insya-Allah, kita akan bergerak lebih pantas untuk menyantuni serta memberi bantuan kepada warga media dan kita juga akan wujudkan satu mekanisme untuk bincang bersama kelab-kelab media Malaysia untuk mengenal pasti rakan-rakan media yang perlu diberi perhatian dari aspek kebajikan mereka," katanya.

Beliau juga berharap hubungan erat antara gabungan kelab media di negara ini akan mendapat manfaat daripada Tabung Kasih@Hawana.

Tabung Kasih@HAWANA, yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional 2023, bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun sudah bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi BERNAMA.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan