AM

INSTITUT MEMANDU TERLIBAT RASUAH BERDEPAN PEMBATALAN LESEN - LOKE

23/06/2024 01:17 PM

SEREMBAN, 23 Jun (Bernama) -- Institut Memandu (IM) yang didapati terlibat dengan sindiket lesen terbang atau lesen 'kopi O' bakal berdepan pembatalan lesen pengoperasian serta-merta.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kegiatan rasuah dalam industri pengujian pemanduan perlu dihapuskan kerana tindakan itu akan membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutama golongan muda.

"Institut memandu jangan terlibat rasuah, jika ia tidak dibanteras, anak muda menjadi mangsa, kita mahu menyelamatkan nyawa manusia.

"Rakyat juga dinasihatkan tidak mudah tertipu dengan tawaran lesen terbang ini menerusi iklan di media sosial," katanya ketika berucap pada majlis ulang tahun ke-10 RDS Driving Academy Sdn Bhd dan Projek Lesen L Orang Asli di sini hari ini. 

Susulan itu, beliau menjelaskan pelaksanaan Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting) menjadi langkah proaktif dan berintegriti yang diperkenalkan bagi menghapuskan gejala rasuah dalam industri pengujian memandu.

Beliau menyeru institut memandu untuk membiasakan penggunaan sistem itu sebelum penggunaannya diwajibkan pada 2030.

"Kementerian bersungguh-sungguh melaksanakan eTesting supaya dapat memastikan satu sistem lebih berintegriti.

"Gejala lesen terbang sudah lama kita dengar, tapi saya lihat ada perkembangan positif walaupun tidak dinafikan mungkin ada lagi sindiket cuba mengambil kesempatan, kita akan teruskan usaha membanteras rasuah," katanya.

Loke berkata pihaknya menerima banyak permohonan institut memandu bagi pelaksanaan eTesting sejak diperkenalkan pada April lepas. 

Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) sedang memproses permohonan itu dan kumpulan pertama bakal menerima surat dalam masa terdekat. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan