AM

PROFESION PENJAGA WARGA EMAS PERLU DIIKTIRAF, KURANGKAN KEBERGANTUNGAN PEKERJA ASING

23/06/2024 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Profesion sebagai penjaga warga emas perlu diiktiraf bagi menggalakkan rakyat tempatan menjadikannya kerjaya sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan pusat penjagaan terhadap pekerja asing.

Cadangan berkenaan dikemukakan oleh Ahli-ahli Gabungan Penuaan Malaysia (MCOA) bagi mengubah landskap penjagaan warga emas dan meningkatkan kualiti kehidupan golongan berkenaan di negara ini ke arah yang lebih baik.

Ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara Tan Sri Lee Lam Thye berkata sukatan latihan penjagaan warga emas yang standard juga perlu diwujudkan bagi memberikan kelayakan kepada yang memilikinya.

"Kerajaan juga diharap dapat membangunkan strategi modal insan yang jelas untuk menganggar kos penjagaan warga emas merangkumi bilangan penjaga diperlukan, campuran kemahiran, kelayakan, kurikulum latihan dan insentif kewangan sesuai untuk kerja mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata MCOA juga mencadangkan kerajaan menyediakan lebih banyak pembiayaan atau subsidi untuk kemudahan penjagaan warga emas kendalian badan kebajikan yang menyediakan perkhidmatan kepada warga emas yang melarat.

Turut dicadangkan ialah pemberian lebih banyak diskaun pengangkutan awam, bil perubatan dan lain-lain kepada warga emas berumur 65 tahun ke atas selain pengangkutan tetap percuma ke hospital, farmasi, pasar raya dan perpustakaan untuk mereka yang hidup berdikari. 

"Kami juga mencadangkan pemberian peranti komputer percuma atau baucar diskaun pembelian komputer dan perkhidmatan Internet percuma kepada warga emas yang mengikuti kursus pembelajaran dalam talian dalam kumpulan B40," katanya. 

Lee berkata inisiatif meneruskan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga emas akan meningkatkan kesejahteraan mental mereka, mengukuhkan kesihatan fizikal dan membantu golongan terbabit menjalin hubungan sosial baharu.

Menurut Lee MCOA juga mencadangkan agar kerajaan segera mewartakan peraturan-peraturan bagi Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Warga Emas (Akta 802) baharu untuk memudahkan perancangan dan pelaburan ke dalam premis yang sangat diperlukan bagi penjagaan warga emas.

"Kami meminta kerajaan mengutamakan vaksinasi sepanjang hayat untuk warga emas yang tinggal di kemudahan penjagaan warga emas, majlis tempatan perlu terus memainkan peranan aktif dalam menaik taraf laluan tepi pejalan kaki supaya boleh diakses oleh semua.

"Kami memohon agar kemudahan untuk Orang Kurang Upaya diperluas kepada warga emas sebagai contoh mewujudkan tempat letak kereta khas untuk orang tua serta menyeru majlis tempatan dan pemaju hartanah mempertimbangkan ciri reka bentuk mesra pengguna yang menghidap demensia," katanya. 

Selain itu, MCOA juga menyarankan kerajaan menubuhkan kementerian yang hanya berfungsi untuk memenuhi keperluan warga emas sekali gus memudahkan penyediaan perkhidmatan bersepadu untuk golongan terbabit.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan