AM

PENTING BAGI IBU BAPA PILIH TASKA BERDAFTAR PASTIKAN KESELAMATAN ANAK

25/06/2024 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Ibu bapa dinasihatkan untuk memilih taska yang berdaftar bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak mereka.

Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia (PPBM) Anisa Ahmad berkata garis panduan baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menetapkan bahawa menjadi tanggungjawab ibu bapa dan penjaga untuk memilih taska berdaftar sebelum menghantar anak-anak mereka.

“Pastikan taska mempunyai sijil sah daripada JKM dan jika anak menunjukkan ketidakselesaan yang berterusan di taska, pertimbangkan untuk mencari taska lain.

“Di Malaysia terdapat 3,804 taska berdaftar, sementara pengasuhan di rumah hanya perlu memberitahu kepada JKM tanpa perlu berdaftar,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.

Anisa juga menekankan kepentingan pemeriksaan kesihatan mental pengasuh selain mengingatkan pengusaha taska untuk memantau dan menyokong kesejahteraan mental pekerja mereka bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.

"Kami juga berharap ibu bapa saling membantu dan jangan terlalu menekan pengasuh,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa supaya memeriksa taska secara peribadi semasa proses pemilihan dan bukan hanya bergantung kepada ulasan dalam talian atau cadangan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan