EKONOMI

FSBM BANGUNKAN SISTEM PENGESANAN PENGGUNAAN TENAGA, KELUAR DARI STATUS PN17

25/06/2024 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- FSBM Holdings Bhd merancang memperuntukkan sehingga 10 peratus daripada hasilnya untuk membangunkan sistem pengesanan penggunaan tenaga bagi syarikat dalam mengukuhkan portfolio alam sekitar, sosial dan tadbir urus mereka.

Pengarah Urusan FSBM Pang Kiew Kun berkata syarikat itu memulakan projek berkenaan tahun lepas untuk membina sistem yang boleh mengekstrak, memproses dan menganalisis data pada masa nyata mengenai penggunaan tenaga pelanggan.

Katanya, sesetengah syarikat masih merekodkan data secara manual, manakala bagi sistem automatik, ia berupaya mengumpul, memproses dan menganalisis data, katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu hari ini.

Mengenai prospek, Pang berkata sebagai pengedar komputer, produk dan perkhidmatan berkaitan komputer, ia akan menumpukan kepada penyampaian perkhidmatan khusus merentas segmen perniagaannya dalam pengilangan pintar, aplikasi pintar dan keselamatan siber.

"Dengan tumpuan kepada penyelesaian yang dipacu kecerdasan buatan (AI), integrasi Internet Pelbagai Benda (IoT) dan langkah keselamatan siber yang teguh, kami berada pada kedudukan yang tepat untuk menangani permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian teknologi termaju.

“Kami berusaha memperkasakan perniagaan bagi menyelaraskan operasi, meningkatkan kecekapan, dan meneroka peluang pertumbuhan baharu melalui komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan yang disesuaikan dan produk-produk inovatif,” katanya.

Sementara itu, FSBM dalam satu kenyataan berasingan berkata syarikat itu bukan lagi syarikat berstatus PN17 berkuat kuasa 21 Jun, 2024.

"Kumpulan telah mengembangkan pasukannya dan sedang berusaha mendapatkan perkongsian dan kontrak-kontrak baharu," kata Pang.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan