AM

TIADA 'PUSINGAN U' TERHADAP VEP, PEMANDU SINGAPURA PERLU PATUHI PERATURAN - LOKE

25/06/2024 06:50 PM

PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan memudahkan pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing yang memasuki Malaysia, namun jangan harapkan ‘pusingan U’ terhadap penguatkuasaan VEP bermula 1 Okt ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata ketika ini kerajaan tidak mempunyai cara untuk mengesan kenderaan asing yang memiliki saman atau kesalahan di negara ini.

“Jadi apabila VEP dilaksanakan, sesiapa atau kenderaan asing yang memasuki Malaysia, jika melanggar undang-undang kita maka mereka perlu membayar saman sebelum meninggalkan negara ini. Inilah mesejnya… tidak akan ada pusingan U. Akan dikuatkuasakan pada 1 Okt,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia ke-4 di sini hari ini.

Menurut Loke mesej itu jelas terhadap kenderaan asing terutama pemandu Singapura yang kerap datang ke Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berharap pemandu warga asing mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini sepertimana pemandu Malaysia mematuhi undang-undang Singapura.

 Loke berkata kementeriannya menyedari e-mel berkaitan kesulitan pemilik kenderaan asing dalam mendaftarkan VEP dan Bahagian Darat kementerian serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah diarahkan untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi menyelesaikan isu terbabit sekali gus memudahkan proses berkenaan.

"Sebaik sahaja kita meneliti isu itu, kita akan buat pengumuman nanti dari segi penambahbaikan ,” katanya sambil menambah beliau sendiri akan meneliti isu berkenaan dan akan ke Johor untuk melakukan pemeriksaan.

Pada 28 Mei lepas, Loke mengumumkan VEP bagi kenderaan asing di sempadan darat Malaysia-Singapura akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Okt ini bagi memastikan pemilik kenderaan asing mematuhi peraturan jalan raya.

Beliau berkata selepas tempoh itu, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap mana-mana pemandu yang memandu kenderaan asing tanpa VEP selaras Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333).

Mereka yang disabit kesalahan boleh dikompaun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan seperti ketetapan Seksyen 119(2) di bawah Akta 333.

-- BERNAMA 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan