AM

LEBIH 1,700 PELUANG PEKERJAAN DITAWARKAN SEPANJANG PROGRAM MADANI RAKYAT ZON TIMUR

25/06/2024 08:57 PM

KUANTAN, 25 Jun (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur yang akan diadakan di Dataran Sayangi Kuantan di sini pada 5 hingga 7 Julai depan menawarkan ‘pelbagai tarikan’ termasuklah tawaran lebih 1,700 peluang pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya. 

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Mohd Faidz Sanusi berkata pekerjaan itu ditawarkan lebih daripada 20 majikan sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan pekerjaan bersesuaian di bawah satu bumbung. 

“Program MADANI Rakyat bertujuan menyebarluaskan promosi dasar, inisiatif kerajaan MADANI, meningkatkan pemahaman rakyat serta kesedaran umum mengenai hala tuju dan matlamat kerajaan, selain turut sama menyediakan peluang pekerjaan,” katanya dalam temu bual di radio Nasional FM hari ini. 

Selain itu, beliau berkata program ini yang merupakan anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui PACU dengan kerjasama strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kerajaan Pahang turut menyediakan lebih 180 perkhidmatan ‘titik sentuh’ rakyat. 

Beliau berkata Program MADANI Rakyat Zon Timur ini yang merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan tidak hanya akan menyediakan pelbagai perkhidmatan daripada kerajaan Persekutuan tetapi juga daripada ketiga-tiga negeri berkenaan di bawah satu bumbung. 

“Ambil peluang hujung minggu bawa keluarga kerana bukan senang hendak dapatkan perkhidmatan kerajaan dalam satu tempat. Kadang-kadang hari bekerja, kita tidak cukup masa dan inilah waktunya kerana ia akan bermula pada pukul 9 pagi hingga 10 malam," katanya.

Melengkapkan komitmen kerajaan prihatin kepada rakyat, Mohd Faidz berkata Jualan MADANI dengan potongan harga istimewa turut ditawarkan selain baja serta benih (sayur dan buah-buahan tertentu) diberikan secara percuma serta turut menjadi platform bagi yang berminat mempelajari teknik tanaman oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Selain itu, pelbagai pakej pelancongan dengan tawaran harga istimewa turut ditawarkan oleh ketiga-tiga negeri tersebut sepanjang program itu, begitu juga dengan pakej istimewa daripada syarikat telekomunikasi. 

“Kita ada banyak lagi aktiviti yang fokus kepada kesejahteraan rakyat yang mana ada lebih kurang 30 acara di pentas utama. Kita juga ada Pocket Talks yang membincangkan isu semasa serta memberi ruang kepada pengunjung bukan sahaja untuk memahami situasi sebenar tetapi juga boleh mengemukakan cadangan serta kemusykilan kepada individu yang tepat, sinilah tempatnya,” katanya. 

Selain itu, program itu juga memberi tumpuan kepada agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan karnival kerjaya, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan, kesejahteraan luar bandar serta pameran dan perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kecerdasan buatan (AI).

Mohd Faidz berkata KKDW dan kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dari mula program sehingga tamat selain tandas, surau, kemudahan ruangan menyusu dan menukar lampin bayi.

Majlis perasmian Program MADANI Rakyat Zon Timur bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai dengan dihadiri pemimpin tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Selain usaha kerajaan membawa perkhidmatan terus kepada rakyat, program ini juga dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuhkan hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras dengan agenda Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan