POLITIK

PRK SG BAKAP: AMANAH NAFI TIDAK TURUN PADANG BERSAMA JENTERA PERPADUAN

26/06/2024 11:10 PM

NIBONG TEBAL, 26 Jun (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) menafikan tidak turun padang bersama jentera Perpaduan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bermula Sabtu lepas.

Sebaliknya, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setiap jentera parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) telah diberi tugas dan lokasi khusus sepertimana yang telah diarahkan oleh kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Kita ikut arahan parti masing-masing. Dalam kempen ini, kami bertumpu di kawasan Sungai Duri. Di sana ramai pengundi yang majoritinya adalah Melayu,” katanya ketika ditemui pada program Jom Masak Menu Sihat Citarasa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Tasek Cempedak di sini hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata demikian ketika mengulas persoalan mengapa Amanah dilihat tidak bersama parti komponen lain sepanjang kempen PRK yang memasuki hari kelima hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata program kempen partinya berjalan lancar dengan tumpuan pada masa ini mengadakan lawatan rumah ke rumah, ceramah kelompok serta khidmat masyarakat.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN), yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Sungai Bakap merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan