AM

BUKAN SEKADAR SAKIT KEPALA: FAHAMI DAN TANGANI MIGRAIN

26/06/2024 10:50 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Salah tanggapan orang ramai terhadap migrain sebagai penyakit mental perlu dirungkai dan dijelaskan bagi memberikan pandangan yang lebih praktikal sekali gus membolehkan keadaan itu diurus dengan berkesan.

Pakar Perunding Neurologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Hiew Fu Liong berkata migrain bukan sekadar sakit kepala kerana ia selalunya disertai dengan simptom lain seperti pening, loya, muntah, keletihan, fotofobia (sensitif terhadap cahaya) serta fonofobia (sensitif kepada bunyi kuat) dan dalam keadaan tertenu, ia juga mungkin mempengaruhi emosi penghidapnya.

“Sebagai satu daripada masalah neurologi biasa, migrain juga dikenali sebagai keadaan sakit kepala teruk yang berulang. Terdapat fasa berbeza pada satu episod migrain iaitu prodrom, aura, serangan dan selepas serangan atau pascadrom.

“Peringkat prodrom berlaku dengan gejala amaran yang tidak ketara seperti dedar atau rasa tidak sedap badan, lesu dan mengidam makanan. Peringkat aura pula melibatkan gangguan deria seperti kilatan visual atau sensitiviti yang meningkat terhadap bunyi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata serangan migrain ialah rasa sakit kepala pada sebelah bahagian kepala sahaja dan rasa tidak selesa apabila terdedah kepada rangsangan cahaya serta bunyi yang boleh berlarutan empat hingga 72 jam, manakala akhir sekali peringkat selepas serangan dengan badan mengalami kelesuan yang boleh berlanjutan hingga beberapa hari. 

Dr Hiew berkata terdapat beberapa jenis migrain yang berbeza iaitu migrain tanpa aura, migrain dengan aura, migrain basilar, migrain okular, migrain katamenia (semasa haid) dan migrain hemiplegia.

Menurutnya penting bagi pesakit untuk memahami punca dan faktor risiko berkait dengan keadaan itu untuk meringankan kesakitan dan mengurangkan kekerapan serangannya.

“Faktor risiko ini mungkin berbeza dengan ketara mengikut individu dan ia mungkin disebabkan perubahan cuaca yang mendadak, dehidrasi atau kekurangan air, sensitif terhadap bau kuat, pengambilan kafein, terdedah kepada bunyi kuat dan banyak lagi,” katanya. 

Dr Hiew juga menegaskan bahawa kesilapan diagnosis boleh menyebabkan pengambilan ubat yang salah dan potensi berlaku komplikasi lain seperti gastrik dan kerosakan buah pinggang.

“Walaupun tiada ubat untuk migrain, tujuan rawatan adalah untuk mengatasi gejalanya dengan berkesan. Ubat-ubatan akan diberikan untuk mengurangkan rasa sakit serta ketidakselesaan akibat serangan migrain dan dengan mendapatkan nasihat pakar neurologi, pesakit boleh menyusun strategi khusus sama ada untuk mencegah migrain atau mengatasi gejalanya secara lebih baik apabila ia menyerang,” katanya.

Menurut Dr Hiew terdapat dua rawatan pilihan bagi keadaan itu yang boleh dibahagikan dua kategori iaitu menghentikan kesakitan dan mencegah serangan migrain. 

Beliau berkata rawatan melegakan kesakitan melibatkan ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit, manakala rawatan pencegahan migrain pula meliputi pengambilan ubat antiepilepsi, antihipertensi dan antidepresan.

“Terdapat juga rawatan lanjut seperti penghalang reseptor peptida berkaitan gen ‘Calcitonin’ (CGRP) yang mampu menyekat reseptor CGRP pada saraf trigeminal yang berperanan menyampaikan rasa sakit dan sensitiviti terhadap sentuhan dan suhu, sekali gus menghalang serangan migrain,” katanya.

Sementara itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa mengikut kajian seorang daripada empat wanita dan seorang daripada 12 lelaki akan mengalami migrain pada satu peringkat hidup mereka. 

Sebagai antara hospital kuaternari swasta terbesar di negara ini, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway baru-baru ini turut tersenarai antara 250 hospital terbaik di dunia dalam senarai Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024 dan antara 75 hospital terbaik bagi kategori Neurologi dalam pencalonan Hospital Khusus Terbaik Newsweek Asia Pasifik 2024 untuk dua tahun berturut-turut.

Hospital itu turut memenangi anugerah Hospital Terbaik (Malaysia) pada Anugerah Penjagaan Kesihatan Asia 2024 untuk tahun ketiga berturut-turut, sekali gus meletakkan penanda aras dalam aspek kecemerlangan klinikal, penyelidikan dan inovasi bagi hospital di serata dunia.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan