AM

KOTEX SUMBANG 600,000 KIT PENGURUSAN HAID, MANFAAT KEPADA LEBIH 1,000 SEKOLAH

27/06/2024 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Kotex Malaysia menyumbang 600,000 kit pengurusan haid jenama tuala wanita itu untuk tempoh tiga tahun hingga 2026 yang memberi manfaat kepada pelajar perempuan di 1,080 sekolah seluruh negara. 

Pengarah Urusan Kimberly-Clark Lim Yu Chien berkata sumbangan berupa pelbagai jenis tuala wanita dan bahan pendidikan bercetak itu disalurkan bagi menyokong pelaksanaan Program Kasih Remaja: Advokasi SRH (Seksual dan Kesihatan Reproduktif) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Program dengan kerjasama Kotex Malaysia itu merupakan komitmen yang kami buat dengan pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selama tiga tahun yang turut melibatkan agensi kerajaan, NGO (badan bukan kerajaan) dan swasta.

“Ia selari dengan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) 2022-2025 ​​untuk menyebarluaskan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada golongan remaja di seluruh negara,” katanya pada sidang media sempena pelancaran program berkenaan di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta 500 pelajar dari 10 sekolah sekitar Parlimen Bandar Tun Razak.

Lim berkata kit berkenaan diagihkan kepada sekolah di seluruh Malaysia dan hingga kini sebanyak 98,000 remaja perempuan telah menerima sumbangan tersebut, dengan sasaran 200,000 orang akan menerima manfaat itu pada akhir tahun ini. 

Menurutnya inisiatif itu juga bertujuan mendidik remaja mengenai pendidikan haid secara lebih jelas. 

“Kotex Malaysia telah menghasilkan dua kandungan video pendidikan haid dan SRH yang akan ditayangkan di sekolah. Kami telah berunding dengan pasukan pakar perubatan, pendidik dan pekerja NGO wanita untuk kandungan kedua-dua video pendidikan itu bagi memastikan ia berkualiti serta bersesuian dengan masyarakat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Nancy berkata penganjuran program itu penting bagi membendung gejala tidak sihat berkaitan kanak-kanak dan remaja.

Beliau berkata pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial perlu diterapkan kerana ia dilihat sebagai pembelajaran sepanjang hayat merangkumi aspek biologi, sosial, psikologi, kerohanian dan budaya yang berupaya menghasilkan generasi masa hadapan yang sihat.

“Kementerian juga berharap program itu dapat membuka ruang kolaborasi lebih luas dalam usaha memberi manfaat kepada masyarakat terutama kumpulan sasar pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan