AM

RAYUAN SUBSIDI DIESEL AKAN DIBENTANG UNTUK PERTIMBANGAN KABINET SELEPAS DITELITI - ARMIZAN

27/06/2024 08:49 PM

PETALING JAYA, 27 Jun (Bernama) -- Rayuan pelbagai pihak supaya diberi pertimbangan mendapat subsidi diesel akan dibentangkan untuk pertimbangan kabinet setelah selesai diteliti, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata kerajaan mengambil maklum tentang rayuan yang dikemukakan, termasuk oleh pengusaha trak penunda kenderaan.

"Semuanya sedang dipertimbangkan, justifikasi telah mereka kemukakan dan sebaik sahaja jawatankuasa rayuan buat analisis, kita akan bentangkan untuk pertimbangan kabinet, buat masa ini belum ada keputusan dibuat.

“Kita masih buat analisis kerana prinsip asasnya adalah mereka yang layak untuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ini adalah sektor-sektor atau jenis pengangkutan yang terlibat dalam penghantaran barangan yang penting yang digunakan secara harian oleh komuniti yang besar," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024 di sini hari ini beliau berkata, kerajaan terbuka kepada sebarang rayuan sebagaimana yang dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk diberikan pertimbangan yang terbaik.

Lebih 1,000 pengusaha trak penunda kenderaan sebelum ini dilaporkan menggesa kerajaan mempertimbangkan perkhidmatan berkenaan dimasukkan dalam senarai 23 kategori kenderaan layak menerima bantuan diesel di bawah SKDS.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan