AM

5,331 SYARIKAT DAPAT PENGIKTIRAFAN MALAYSIA DIGITAL SEHINGGA 31 MAC LEPAS - KEMENTERIAN DIGITAL

27/06/2024 11:49 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Sebanyak 5,331 syarikat telah diberikan pengiktirafan Malaysia Digital (MD) sehingga 31 Mac lepas, dengan lebih 73 peratus daripadanya adalah syarikat tempatan, menurut Kementerian Digital. 

Katanya syarikat-syarikat itu meneroka dan menjalankan aktiviti penyediaan produk dan perkhidmatan digital yang bernilai tinggi menggunakan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi Blockchain, internet benda (IoT), keselamatan siber, teknologi kewangan (fintech) dan dron.

“Pelbagai insentif dan manfaat juga ditawarkan kepada syarikat-syarikat MD untuk mempercepatkan pertumbuhan dan meningkatkan kesan limpahan kepada ekonomi serta pengukuhan ekosistem digital negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Ia menjawab soalan V. Ganabatirau (PH-Klang) yang ingin mengetahui tentang statistik syarikat tempatan dalam bidang teknologi maklumat yang telah dimulakan dari 2020 hingga 2023 dan rancangan untuk meningkatkannya.

Kementerian Digital melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) turut berusaha meningkatkan potensi dan daya saing syarikat tempatan dalam menyediakan produk dan perkhidmatan berteknologi tinggi yang dapat menembusi pasaran serantau dan global melalui pelaksanaan program Gateway Amplify Invest Nurture (GAIN).

“Sehingga Mac lepas, sebanyak 300 syarikat telah menyertai program ini dan mencatatkan jumlah eksport terkumpul sebanyak RM11.265 bilion,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan