AM

MACEE BOLEH MAIN PERANAN PENTING DALAM KERJASAMA PENYELIDIKAN TEKNOLOGI, INOVASI

28/06/2024 08:49 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) boleh memainkan peranan penting dalam mengarahkan usaha penyelidikan kolaboratif ke arah teknologi dan inovasi, selaras dengan visi Malaysia untuk menjadi negara yang terkenal dengan inovasi, pembangunan dan kemampanan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry, yang juga Pengerusi Kehormat Bersama MACEE, menyatakan bahawa melalui kerjasama dengan 11 universiti Malaysia pada Ogos 2023, MACEE meningkatkan kebolehcapaian pendidikan, menaikkan standard, dan menyediakan tenaga kerja Malaysia untuk era digital.

“Inisiatif ini mengukuhkan usaha dua negara antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), mengukuhkan perikatan antarabangsa dan memperteguh reputasi MACEE sebagai mata arah kecemerlangan pendidikan,” katanya dalam ucap utama untuk MACEE Summer Soiree 2024 - Sambutan Musim Panas Penerima Geran Fulbright Malaysia dan Amerika di sini, pada Khamis.

Ucap utama beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Menurut Zambry, Kerajaan Malaysia MADANI komited sepenuhnya untuk mengekalkan dan memperkukuh perkongsiannya dengan Amerika Syarikat bagi memastikan kerjasama antara kerajaan yang membawa kepada penubuhan MACEE enam dekad lepas, berterusan sekurang-kurangnya untuk 60 tahun lagi dan seterusnya.

Beliau berkata komitmen berterusan kedua-dua negara adalah amat penting dalam memperluas dan mendalami perkongsian ini, seterusnya meningkatkan dan memperkukuh evolusi sistem pendidikan tinggi dan akhirnya meningkatkan keterlihatan global.

Duta AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan, yang juga Pengerusi Bersama MACEE berkata semasa acara itu bahawa pertukaran pendidikan merupakan sebenar-benarnya kerjasama kerana ia mewujudkan hubungan antara individu dan pautan institusi yang membawa manfaat jangka panjang.

“Saya menggalakkan penerima geran Fulbright dari Amerika dan Malaysia untuk berkongsi segala yang anda lihat dan pelajari dengan keluarga, rakan-rakan dan komuniti anda untuk membantu mereka melihat dunia dengan lebih luas melalui pengalaman anda dan menginspirasi mereka untuk berusaha  mendapatkan  pertukaran atau pengajian di luar negara mereka sendiri,” katanya.

Pengarah Eksekutif MACEE, Curtis Johnson berkata penerima geran Fulbright telah memainkan peranan penting dalam membina jambatan diplomasi pendidikan antara dua negara itu selama lebih 60 tahun.

Sebagai duta muhibah dan kerjasama, hasil kerja mereka mengukuhkan lagi rasa hormat dan kerjasama antara Malaysia dan AS, katanya.

Acara hari ini meraikan kepulangan 22 penerima geran Fulbright Malaysia untuk 2023/2024, 14 penerima geran Fulbright Amerika 2023/2024 yang kini berada di Malaysia, dan 14 penerima geran Fulbright Malaysia 2024/2025 yang akan berada di AS mulai Ogos.

MACEE, yang ditubuhkan pada 1963 untuk mempromosikan pertukaran pendidikan dan kebudayaan antara Malaysia dan AS, menguruskan Program Fulbright untuk memupuk persefahaman bersama dan memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

Sejak penubuhannya, MACEE telah memainkan peranan penting dalam memudah cara  lebih daripada 1,000 penerima geran Fulbright Malaysia dan 2,000 penerima geran Fulbright Amerika, menyumbang kepada pembangunan pemimpin dan cendekiawan masa depan. Program Fulbright telah menganugerahkan lebih 400,000 geran di seluruh dunia sepanjang 77 tahun kejayaannya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan