EKONOMI

KUCINGKO SASAR KUMPUL RM30 JUTA DARIPADA IPO PASARAN ACE BURSA MALAYSIA

28/06/2024 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) --, Syarikat perkhidmatan pengeluaran animasi dua dimensi (2D), Kucingko Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada 26 Julai 2024 menyasarkan mengumpul RM30 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

Pengarah Eksekutif See Chin Joo berkata daripada jumlah kutipan itu, RM17.8 juta akan digunakan untuk pembesaran kapasiti di mana RM11.9 juta akan diperuntukkan untuk menubuhkan pejabat cawangan pengeluaran baharu di Sabah dan Sarawak.

“Kami cuba mempelbagaikan dan memanfaatkan bakat Sabah dan Sarawak. Kucingko telah mula bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk melatih dan seterusnya mengambil mereka bekerja.

“Rasional di sebalik rancangan pembesaran ini disebabkan selain Selangor, kami menyedari terdapat banyak bakat di negeri lain yang boleh dilatih dan seterusnya menyumbang semula kepada projek yang kami lakukan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran prospektus tersebut hari ini.

Selepas disenaraikan, Kucingko akan menjadi studio pengeluaran animasi pertama disenaraikan di bursa tempatan.

Syarikat itu kini bekerjasama dengan Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah, Sarawak Digital Economy Corporation Bhd, Universiti Malaysia Sarawak serta Universiti Malaysia Sabah untuk memanfaatkan bakat tempatan dan siswazah.

See berkata pembesaran itu juga bertujuan menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas kakitangan syarikat itu yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan telah kembali ke kampung halaman mereka di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Kucingko juga berhasrat untuk menggunakan RM4.4 juta daripada hasil itu untuk menubuhkan pejabat jualan di Amerika Syarikat (AS) khususnya di Los Angeles, California (Amerika Syarikat) untuk menjana peluang perniagaan dengan bakal pelanggan di kawasan itu serta meneruskan memenuhi keperluan pelanggan sedia ada syarikat itu di Amerika Utara.

“Kira-kira 74 peratus daripada perniagaan kami datang dari Amerika Syarikat dan Amerika Utara. Justeru terdapat banyak sebab mengapa kami perlu mengukuhkan kehadiran kami di sana supaya dapat mendapat lebih ramai pelanggan dan tempat untuk bekerja,” katanya.

Menerusi pengembangan berkenaan syarikat itu akan dapat mengadakan interaksi secara bersemuka dan memberikan sokongan kepada bakal pelanggannya, Amerika Utara, Asia Pasifik dan Eropah merupakan pasaran utama Kucingko, kata See.

Mengenai hasil selebihnya, beliau berkata RM4.3 juta akan diperuntukkan untuk modal pusingan dan RM3.6 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

Pada harga IPO 30 sen, Kucingko akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM150 juta menjelang penampilan pertamanya di Pasaran ACE.

Sementara itu, IPO Kucingko akan melibatkan penerbitan 100 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 100 juta saham, secara kolektif mewakili 40 peratus daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan.

“Sekitar 25 juta saham baharu akan disediakan untuk permohonan oleh rakyat Malaysia melalui proses pengundian, di mana 12.5 juta telah disediakan kepada pelabur awam dan 12.5 juta telah dikhaskan untuk pelabur awam Bumiputera.

"Sepuluh juta saham baharu akan dikhaskan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan orang yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat dan 65 juta saham lagi akan disediakan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih," katanya.

Tawaran untuk penjualan 100 juta saham sedia ada telah dikhaskan untuk penempatan peribadi kepada pelabur terpilih, tambahnya.

Permohonan untuk IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada 12 Julai 2024, pukul 5 petang.

Kenanga Investment Bank Bhd adalahg penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO tersebut.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan