DUNIA

557,000 WANITA DI GAZA KINI MENGHADAPI MASALAH KEKURANGAN MAKANAN-WANITA PBB

28/06/2024 07:48 PM

NEW YORK, 28 Jun (Bernama-WAFA) -- Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Khamis bahawa sekurang-kurangnya 557,000 wanita di Gaza kini menghadapi masalah kekurangan makanan, sambil menyatakan bahawa ramai ibu dan wanita dewasa di sana sering mengutamakan memberi makan kepada orang lain, menghadapi kesukaran lebih besar berbanding lelaki dalam mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi.

Menurut penemuan agensi PBB itu, ramai wanita di Gaza terpaksa melangkau waktu makan atau mengurangkan pengambilan makanan mereka sendiri untuk memastikan anak-anak mereka mendapat makanan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Cabaran ini sangat menyekat akses mereka kepada perkhidmatan penting, membahayakan kesihatan dan keselamatan pemakanan mereka, serta meningkatkan kerentanan mereka terhadap keganasan berasaskan gender.

Laporan itu menggariskan lima fakta utama yang menggambarkan kesan kekurangan makanan terhadap wanita di Gaza:

Beban Penjagaan: Wanita berjuang untuk melindungi kesejahteraan anak-anak mereka, baik secara fizikal dan emosi, sambil menanggung tanggungjawab tambahan untuk penjagaan dan tugas rumah tangga, terutama ketika hidup dalam kawasan yang sesak.

Kesihatan fizikal dan penurunan berat badan: Kekurangan makanan dan malnutrisi berleluasa di Gaza, dengan tujuh daripada 10 wanita melaporkan penurunan berat badan dalam 30 hari lepas dan lebih separuh mengalami pening kepala yang kerap.

Bantuan makanan: Lebih daripada 80 peratus responden bergantung kepada bantuan makanan sebagai sumber pemakanan utama mereka. Walau bagaimanapun, 87.3 peratus percaya bahawa pengagihan bantuan makanan tidak mengambil kira saiz keluarga dengan adil, dengan 83.5 peratus menunjukkan bahawa bantuan berkenaan tidak memenuhi keperluan isi rumah mereka dengan mencukupi.

Komplikasi semasa kehamilan, kelahiran, dan postpartum: Wanita hamil dan menyusukan bayi  menghadapi risiko kesihatan yang tinggi disebabkan oleh penjagaan kesihatan dan pemakanan yang tidak mencukupi. Tujuh puluh enam peratus wanita hamil mengalami anemia, sementara 99 peratus bergelut untuk mendapatkan tambahan pemakanan, membahayakan kesihatan ibu dan bayi.

Akses dapur dan kaedah memasak yang tidak selamat: Hanya sepertiga daripada responden mempunyai dapur dan kemudahan memasak yang sesuai, dengan 69 peratus terpaksa menggunakan kaedah memasak yang tidak selamat seperti menggunakan kayu atau membakar sampah, yang menimbulkan risiko kesihatan yang serius. Wanita yang bertanggungjawab untuk penyediaan makanan sering terdedah kepada asap dan bahan cemar berbahaya, yang membawa kepada masalah pernafasan dan kesihatan lain.

Agensi Wanita PBB menyeru untuk perhatian dan sokongan antarabangsa segera bagi menangani krisis kekurangan makanan yang kritikal dan menjejaskan wanita di Gaza.

Laporan itu menekankan keperluan segera untuk pengagihan bantuan makanan yang adil, perkhidmatan penjagaan kesihatan yang dipertingkatkan, dan langkah-langkah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan wanita dan keluarga mereka di tengah-tengah konflik yang berterusan dan cabaran kemanusiaan.

-- BERNAMA-WAFA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan