DUNIA

WHO SAMBUT BAIK PEMINDAHAN PERUBATAN PERTAMA SEJAK PENUTUPAN RAFAH

28/06/2024 10:07 PM

GENEVA, 28 Jun (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat menyambut baik pemindahan perubatan pertama 21 kanak-kanak penghidap kanser dari Gaza sejak penutupan Rafah pada awal Mei, sambil menegaskan bahawa "lebih banyak perlu dilakukan."

Lebih 10,000 orang perlu dipindahkan dan menerima rawatan perubatan di luar Gaza, lapor Agensi Anadolu yang memetik jurucakap Tarik Jasarevic pada sidang media PBB di Geneva.

Jasarevic berkata 6,000 daripada mereka mengalami trauma, dan lebih daripada 2,000 lagi menghidap penyakit kronik.

"Sejak penutupan Rafah, kami tidak mempunyai sebarang pemindahan perubatan sehingga semalam, membabitkan 21 kanak-kanak penghidap kanser," katanya, sambil menggesa:

"Kita perlu membuka semula Rafah dan mana-mana pintu sempadan lain untuk membawa mereka keluar supaya nyawa mereka dapat diselamatkan. Kita benar-benar perlu menyokong penyambungan semula pemindahan perubatan.

"Apa yang berlaku semalam adalah dialu-alukan, tetapi lebih banyak perlu dilakukan," tegasnya.

Ketua WHO Tedros Ghebreyesus juga menyambut baik pemindahan itu dan dalam hantaran di platform X beliau menyatakan: "Kami merayu supaya pemindahan perubatan dipermudahkan melalui semua laluan yang mungkin, termasuk Rafah dan Karem Shalom, ke Mesir, Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan dari situ ke negara lain jika perlu."

"Kami merayu untuk pemindahan perubatan yang berterusan dan proses yang selamat, tepat pada masanya, telus dan teratur," kata Tedros, menekankan bahawa pesakit ini "amat memerlukan" rawatan khusus untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Anadolu juga melaporkan seorang pegawai komunikasi kanan agensi PBB untuk pelarian Palestin, yang menyertai sidang media PBB secara maya dari Gaza Tengah, menegaskan bahawa setiap hari di Gaza keadaan adalah "yang terburuk pernah dialami."

"Saya rasa kami telah berkomunikasi sepanjang tempoh perang ini, bagaimana keadaannya, bagaimana ia semakin buruk. Setiap hari kami di sini, ia adalah yang terburuk yang pernah dialami. Tidak pernah menjadi lebih baik," kata Louise Wateridge. 

Wateridge juga membangkitkan masalah mengenai keadaan sampah yang tidak terkawal di kawasan yang terkepung dan berkata ia semakin menimbun mengganggu kehidupan penduduk.

"Ia semakin teruk dan dengan suhu yang semakin meningkat, ia benar-benar menambah penderitaan kepada keadaan hidup di sini," katanya sambil menambah bahawa penduduk terpaksa hidup di sekitarnya.

Beliau juga menekankan bahawa musim panas juga memburukkan lagi keadaan penduduk Gaza kerana kebanyakan mereka tinggal di tempat perlindungan sementara yang diperbuat daripada kepingan plastik.

"Suhu di dalam kepingan plastik lebih tinggi daripada di luar kepingan plastik," katanya, sambil menambah: "Ia benar-benar tidak tertanggung bagi orang ramai untuk hidup dalam keadaan ini."

Mengenai penutupan Rafah, beliau menekankan bahawa walaupun dengan Rafah dibuka, "tidak pernah ada bantuan yang mencukupi memasuki Semenanjung Gaza sepanjang perang ini."

"Tetapi terdapat sistem. Orang ramai mendapat makanan. Orang ramai mendapat air," katanya. "Terdapat rentak harian untuk kelangsungan hidup orang ramai."

Walau bagaimanapun, selepas Mei, keadaan kembali menjadi "kacau-bilau" apabila operasi kemanusiaan terjejas teruk oleh lanjutan operasi ketenteraan dan 1.4 juta orang dipaksa berpindah dari Rafah ke tempat di mana semuanya adalah runtuhan tanpa akses kepada air, sanitasi dan makanan.

Israel, mengingkari resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menuntut gencatan senjata segera, telah menghadapi kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejam yang berterusan di Gaza sejak 7 Okt 2023.

Lebih 37,700 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 86,400 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Lebih lapan bulan selepas perang Israel, sebahagian besar Gaza musnah di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang melumpuhkan.

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang keputusan terbaru memerintahkan ia segera menghentikan operasi ketenteraannya di bandar selatan Rafah, iaitu lebih sejuta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diserang pada 6 Mei.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan