BERITA TERGEMPAR   PM Anwar ulangi pendirian Malaysia kekal tegas dalam isu Gaza | 
 JENAYAH & MAHKAMAH

JABATAN IMIGRESEN TELITI DAKWAAN PENGARAH SYARIKAT DIPUKUL KETIKA OPERASI

29/06/2024 01:07 AM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia akan memberi kerjasama  sepenuhnya dengan telus dan adil kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), berhubung insiden seorang pengarah syarikat pekerja asing yang mendakwa dipukul pegawai Imigresen, semasa ditahan dalam operasi penguatkuasaan jabatan itu baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dalam masa sama jabatan itu sedang menunggu laporan lengkap daripada Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seterusnya akan meneliti dakwaan tersebut.

“Sekiranya didapati berlakunya tindakan pelanggaran SOP (prosedur operasi standard) atau penyalahgunaan kuasa oleh pegawai terlibat, tindakan dan hukuman tegas akan diambil.

“Imigresen memandang serius kes penyalahgunaan kuasa melibatkan pegawai dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran SOP, sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan jabatan tersebut, susulan sebuah portal berita yang melaporkan seorang pengarah syarikat pekerja asing yang dipercayai terlibat sebagai dalang sindiket pengemis, mendakwa dipukul oleh pegawai Imigresen semasa ditahan dalam operasi penguatkuasaan pada 25 Jun.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan