DUNIA

KOSOVO HARAMKAN PENGGUNAAN TIKTOK BAGI INSTITUSI KERAJAAN

29/06/2024 01:39 PM

BELGRADE, Serbia, 29 Jun (Bernama-Anadolu) -- Kosovo pada Jumaat mengharamkan aplikasi TikTok bagi semua institusi kerajaannya, lapor Agensi Anadolu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Bardhyl Dobra berkata aplikasi itu diharamkan untuk "meningkatkan keselamatan siber."

''Kementerian Dalam Negeri mengesyorkan larangan memuat turun, penggunaan dan pengendalian aplikasi rangkaian sosial TikTok dan semua perkhidmatannya pada semua rangkaian komunikasi elektronik dan peralatan teknologi maklumat yang dimiliki dan diuruskan oleh institusi awam,'' kata Dobra.

Beliau juga berkata institusi kerajaan harus mengenakan sekatan teknikal untuk menghentikan operasi perkhidmatan TikTok.

Semua pegawai kerajaan turut bertanggungjawab untuk mengalih keluar aplikasi itu daripada peranti rasmi.

Keputusan itu selaras dengan undang-undang keselamatan siber Kosovo dan diterima sebulat suara oleh Anggota Kabinet.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan