SUKAN

SKUAD BADMINTON WANITA GAGAL PERTAHAN PINGAT EMAS DI AUG

29/06/2024 04:24 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

SURABAYA, 29 Jun (Bernama) -- Hasrat skuad badminton wanita negara mempertahankan kejuaraan di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 tidak kesampaian apabila tumbang kepada Thailand 0-3 pada aksi final acara berpasukan di Malang di sini hari ini. 

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Graha Cakrawala, Universitas Malang itu  menyaksikan Yi Xing Un yang turun pada perlawanan pertama gagal meraih mata selepas ditewaskan Pornpicha Choeikeewong 9-21, 13-21.

Malaysia terus kecewa pada aksi kedua apabila beregu wanita negara Xin Jie Lee-Valeree Zi Xuan Siow diketepikan Pichamon Phatcharaphisutsin-Atitaya Povanon 19-21, 24-22, 18-21, sebelum N. Saranya yang menjadi sandaran terakhir untuk menyumbang mata buat Malaysia tunduk kepada Thitiphon Klomyong 6-21, 13-21. 

Keputusan itu menyaksikan pasukan wanita negara akur dengan pingat perak sekali gus gagal mengulangi kejayaan membawa pulang pingat emas pada temasya AUG 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand. 

Ketua Jurulatih skuad negara Datuk Rashid Sidek berkata meskipun terlepas peluang mempertahankan emas, anak buah kendaliannya itu sudah menepati sasaran untuk ke final pada temasya sukan itu.

"Memang agak sukar untuk menang pingat emas kerana kita tahu pasukan Thailand ada kekuatan yang lebih daripada kita, pengalaman dan standard mereka juga lebih tinggi. Kita hanya boleh dapat mata daripada beregu wanita, manakala untuk perseorangan wanita memang agak jauh beza. 

"Beregu kita boleh mendapat mata sebelum ini tetapi hari ini kita nampak Thailand menunjukkan permainan yang lebih mantap dan kurang melakukan kesilapan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Sementara itu, skuad futsal lelaki negara mengejutkan juara bertahan Thailand untuk menempah slot ke final di Gelora Olahraga Rakyat (GOR) Futsal Universitas Negeri Surabaya (UNESA). 

Ia selepas skuad negara memperoleh kemenangan 5-4 pada penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat seri 4-4 pada masa sebenar. 

 Pemain negara Zulkifli Abu Hassan Zali mencipta jaringan awal pada pada minit keenam dan 16, diikuti oleh Muhammad Arif Roslan (ke-31) dan Muhammad Syarifuddin Md Akhir (ke-34).

Jaringan penentuan melalui sepakan penalti pula disempurnakan Muhammad Aidil Izwan Mazlan, Muhammad Bukhari Samsudin, Muhammad Syarifuddin, Zulkifli dan Muhammad Haritu Azami. 

Skuad kendalian Addy Shairullyzam dijadual bertemu sama ada Timor Leste atau tuan rumah Indonesia yang bakal membuat perhitungan dalam satu lagi perlawanan separuh akhir petang ini

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan