EKONOMI

SARAWAK MAHU LEBIH RAMAI KONTRAKTOR BUMIPUTERA KELAS LEBIH TINGGI - UGGAH

29/06/2024 08:56 PM

SIBU, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan bukan setakat mahu melihat lebih ramai kontraktor Bumiputera berjaya malah pada masa sama mahu menambah bilangan mereka berdaftar dalam kelas yang lebih tinggi, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata kontraktor Bumiputera lesen kelas rendah di Sarawak perlu berusaha mengorak langkah menjadi kontraktor kelas A bagi membolehkan mereka merebut dan melaksanakan projek bernilai tinggi di negeri itu.

“Terdapat beberapa kontraktor kelas F tidak mahu keluar dari kelas F. Saya yakin semua mengimpikan untuk menjadi kontraktor kelas A suatu hari nanti,” katanya  pada Majlis Penutupan Kursus Program Kontraktor Berdaya Saing (PKBS) Zon Tengah 2024 di sini hari ini.

Menurutnya di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) terdapat banyak projek pembangunan bernilai tinggi dilaksanakan di Sarawak berikutan peningkatan pendapatan sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata kontraktor berkenaan yang sememangnya sudah mempunyai pengalaman pengurusan projek, kewangan dan kaedah pelaksanaan projek yang sepadan dengan kelas dimiliki perlu mempunyai visi untuk naik taraf pendaftaran ke kelas yang lebih tinggi.

Seramai 104 kontraktor kelas E dan D dari Zon Tengah mengikuti kursus PKBS itu yang dianjurkan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) di sini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan