EKONOMI

MATRADE ANJUR HARI EKSPORT 2024 DI ENAM LOKASI BERMULA JULAI INI

01/07/2024 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan program Hari Eksport 2024 di enam lokasi iaitu Melaka, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Sarawak, Perak dan Selangor bermula Julai ini.

Dalam kenyataan hari ini, katanya dalam masa terdekat, acara berkenaan akan berlangsung di MITC Ayer Keroh, Melaka pada 2 hingga 3 Julai dan Hotel Olive Green, Pulau Pinang pada 22 hingga 23 Julai.

Sehingga kini, lebih 73 peserta daripada 45 syarikat perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) telah berdaftar untuk menyertai Hari Eksport Melaka 2024, kata MATRADE.

Menurut kenyataan itu, program itu adalah antara platform bagi PMKS di Malaysia untuk mendapatkan maklumat praktikal berkenaan panduan asas mengeksport daripada agensi dan badan penggalakan eksport kerajaan dan swasta.

Selain itu, PMKS juga akan didedahkan kepada bantuan yang diberikan oleh kerajaan serta perkhidmatan kepada usahawan oleh pelbagai pemain dalam ekosistem eksport negara untuk memulakan langkah mengeksport, katanya.

Hari Eksport 2024 adalah program pembangunan pengeksport tahunan MATRADE yang diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan rakan strategik agensi berkenaan.

Hari Eksport Melaka 2024 dianjurkan oleh Matrade bersama Kerajaan Negeri Melaka bersama Invest Melaka.

Rakan-rakan strategik Hari Eksport Melaka 2024 adalah Capital Markets Malaysia, Affin Bank Berhad, EXIM Bank Malaysia, dan FedEX Express. 

Hari Eksport Pulau Pinang 2024 pula adalah anjuran Matrade bersama Kerajan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang dengan kerjasama rakan-rakan strategik Affin Bank Berhad, Alibaba.com, Capital Markets Malaysia, Exim Bank Malaysia serta FedEXExpress.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan