AM

PERSIDANGAN KEBANGSAAN SSM KE-13 BINCANG KETELUSAN KORPORAT, DAYA TAHAN PERNIAGAAN

01/07/2024 12:18 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menganjurkan Persidangan Kebangsaan SSM tahunan ke-13 bulan depan dengan tema ‘Enhancing Corporate Transparency. Building Resilience’.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata persidangan maya pada 27 dan 28 Ogos itu bertujuan menyediakan platform dinamik bagi ahli lembaga pengarah dan profesional korporat untuk meningkatkan pemahaman mereka mengenai strategi untuk meningkatkan daya tahan.

Ia juga meningkatkan ketelusan korporat dengan menangani cabaran semasa dan memanfaatkan peluang dalam landskap perniagaan yang berkembang pesat hari ini.

Beliau berkata persidangan itu juga akan mengetengahkan perbincangan mengenai penambahbaikan kepada Akta Syarikat 2016 melalui Akta Syarikat (Pindaan) 2024 baru-baru ini, yang bertujuan memperkukuh rangka kerja perundangan bagi pemulihan korporat, menyediakan sokongan penting kepada syarikat dalam mengharungi cabaran kewangan dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi serta daya saing.

“Selain itu, Akta berkenaan memperkukuh ketelusan korporat berhubung pelaporan pemilikan berfaedah, membolehkan penguatkuasaan yang lebih teguh terhadap jenayah kewangan seperti pengubahan wang haram, pembiayaan pengganas, rasuah dan kesalahan serius lain,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Nor Azimah menambah bahawa tema yang dipilih untuk persidangan kebangsaan tahun ini dilihat tepat pada masanya untuk membina landskap korporat yang berdaya tahan, telus dan inovatif.

“Dalam landskap perniagaan yang dinamik hari ini ketelusan dan daya tahan korporat adalah penting ke arah mewujudkan ekosistem perniagaan yang mampan dan berkembang maju. Persidangan ini akan menyediakan platform untuk mendalami aspek penting ini dan menjadi pemangkin kepada kemajuan dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata persidangan kebangsaan SSM telah mencatatkan kejayaan sebagai wacana yang sungguh-sungguh dan platform rangkaian kerja bagi profesional perniagaan serta korporat untuk kekal relevan dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah. 

Persidangan tahun ini akan menampilkan 11 sesi pleno dengan 39 penceramah terkenal dan 15 pempamer maya yang dijangka menarik kira-kira 3,000 perwakilan termasuk pemimpin industri, setiausaha syarikat, pengamal korporat, profesional, ahli akademik dan eksekutif kanan.

Antara topik yang akan ditampilkan semasa persidangan itu termasuk Companies (Amendment) Act 2024: Unmasking Control, Beneficial Ownership Transparency and Implementation, How Boards as Stewards Can Drive Business Resilience Through Transparency, Building Corporate Resilience in A Disruptive AI Future dan Accelerating Digital Economy for SMEs

Peserta persidangan itu juga akan menerima 16 Mata Pendidikan Profesional Berterusan (CPE).

Jangan lepaskan peluang untuk mendapat maklumat mendalam mengenai ketelusan korporat dan membina daya tahan dalam perniagaan melalui persidangan perdana ini!

Mereka yang berminat boleh mendaftar sekarang di https://e-comtrac.ssm.com.my dengan bayaran RM600 sebelum 16 Ogos 2024 dan maklumat lain, sila hubungi 03-2299 5200 atau e-mel comtrac@ssm.com.my .

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan