AM

KPKM JANGKA EKSPORT DURIAN SEGAR BERMULA SUKU KETIGA 2024

01/07/2024 12:50 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan eksport buah durian segar ke China dapat dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini, persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China, 19 Jun lepas.

Beliau berkata pada ketika ini, proses untuk mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) mengambil masa dua hingga tiga bulan dan KPKM melalui Jabatan Pertanian sedang memuktamadkan Sijil Fitosanitasi bersama GACC.

“Hanya ladang dan fasiliti pembungkusan buah durian yang memohon dan berdaftar dengan Jabatan Pertanian, mematuhi piawaian myGAP (Amalan Pertanian Baik) dan mendapat kelulusan daripada GACC menerusi pematuhan kepada syarat-syarat yang ditetapkan dalam Protokol, dibenarkan mengeksport buah durian segar ke China,” katanya.

Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang ingin tahu tentang usaha kementerian untuk mempercepat proses pengeksportan durian segar ke China dan jangka masa pengeksportan dapat dimulakan.

Menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai peluang yang diambil kerajaan menerusi penyertaan dalam Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) untuk mencari pasaran selain China, Mohamad berkata Malaysia memilih China untuk mengeksport durian kerana negara itu memiliki ramai penduduk yang menggemari raja buah itu.

“Negara-negara Arab belum makan durian lagi, bahkan bau pun tak boleh dan begitu juga Eropah. 

“China makan durian secara besar-besaran dan mereka ada ratusan juta rakyat yang mampu berbelanja. Sebab itu kalau ingin hantar ke negara lain, ada pasaran tetapi tidak seperti China,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan