AM

KKM HALUSI CADANGAN POLISI BAHARU BERKAITAN LANTIKAN, PENEMPATAN DOKTOR - DR DZULKEFLY

01/07/2024 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi beberapa cadangan polisi baharu berkaitan pelantikan dan penempatan anggota kesihatan melalui program Reformasi Sumber Manusia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu merupakan antara usaha kementerian dalam menangani isu kekurangan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara. 

“Kami sedang melakukan penyusunan semula untuk perhalusi polisi baharu untuk kita reform sumber manusia bagi (menangani) permasalahan, kerumitan, kekurangan, mild distribution, ketidaktaburan yang baik dalam satu polisi Reformasi Sumber Manusia yang akan kita kaji semula,” katanya dalam soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang ingin tahu nisbah semasa doktor dan pesakit serta usaha agresif dalam menangani kekurangan pegawai perubatan yang kritikal.

Dr Dzulkefly berkata KKM melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan bilangan doktor di fasiliti kesihatan KKM untuk mencapai sasaran nisbah satu doktor kepada 400 penduduk (1:400) menjelang 2025.

Beliau berkata ia termasuk meningkatkan slot latihan siswazah perubatan di KKM daripada 10,835 pada 2013 kepada 12,198 slot tahun ini selain bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan swasta untuk menarik minat pelajar mengambil jurusan perubatan.

“Berdasarkan Petunjuk Kesihatan 2023 yang dikeluarkan KKM, nisbah doktor kepada penduduk pada tahun 2022 telah mencapai nisbah satu doktor kepada 412 penduduk berbanding nisbah satu doktor kepada 758 penduduk pada tahun 2012.

“Walaupun petunjuk nisbah kepada doktor menunjukkan peningkatan yang memuaskan, KKM komited untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan lagi bilangan doktor di fasiliti KKM dan sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana atas, nisbah 1:412 ini akan terus kita perbaiki,” katanya. 

Sebagai perbandingan, Singapura mempunyai nisbah 1:270, UK 1:357, Australia 1:270, Austria 1:192, Thailand 1:1,111, dan Indonesia 1:1,400.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan