EKONOMI

BNM KELUARKAN DUA SYILING KHAS SEMPENA ULANG TAHUN JPN KE-75

01/07/2024 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ke-75.

Duit syiling peringatan berkenaan akan dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu duit syiling peringatan perak sterling berwarna (pruf) dan emas Nordic Brilliant Uncirculated (BU).

Nilai muka duit syiling peringatan perak sterling itu adalah RM10 dan akan dijual pada harga RM330 sekeping dan sejumlah 1,000 keping telah ditempa.

Sementara itu, nilai muka duit syiling emas ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping dengan sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

“Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM385. Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic dengan sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelia,” kata BNM dalam kenyataan hari ini.

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai 11:00 pagi, pada Isnin, 1 Julai 2024 hingga 11 malam, Ahad, 14 Julai 2024.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain.

“Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan diterima melebihi jumlah ditawarkan, cabutan akan diadakan untuk menentukan tempahan yang berjaya,” kata BNM.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan