EKONOMI

BANK PELABURAN BERI SARANAN POSITIF TERHADAP SEKTOR PERBANKAN, DIDORONG OPTIMISTIK EKONOMI

01/07/2024 01:48 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘overweight’ ke atas sektor perbankan, dirangsang oleh prospek ekonomi yang lebih baik didorong pelaburan dan projek infrastruktur.

Dalam nota penyelidikan pada Isnin, bank pelaburan itu menjelaskan dorongan pasaran seperti pertumbuhan pinjaman yang berterusan, kenaikan Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pengekalan margin yang lebih baik, dijangka terus membayangi cabaran industri seperti tekanan inflasi dan ringgit yang lebih lemah.

“Kami percaya semua ini mungkin mengakibatkan beberapa cabaran kepada daya tahan sektor ini. Sektor itu kekal menarik susulan hasil dividen yang positif sebanyak enam hingga tujuh peratus pada kebanyakan saham, ditambah dengan turun naik sektor yang lebih rendah berbanding industri lain,” tambahnya.

Pilihan utama Kenanga bagi suku ketiga 2024 termasuk CIMB Group, yang mencapai pulangan ke atas ekuiti kira-kira 11 peratus dan menyasar untuk mengekalkan pertumbuhan jangka masa panjang itu dengan kehadiran yang lebih kukuh dalam pasaran tempatan dan serantau.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjelaskan pertumbuhan pinjaman industri itu menjadi sederhana kepada 5.8 peratus pada Mei 2024 daripada 6.1 peratus tahun ke tahun pada April 2024, hampir sejajar dengan unjuran bagi setahun penuh pada 5.5 peratus.

Maybank IB mengekalkan pandangan ‘positif’ kepada sektor itu dan mengesyorkan pembelian saham ke atas AMMB Holdings, CIMB Group, Alliance Bank, Public Bank, Hong Leong Bank dan Hong Leong Financial Group, berdasarkan susunan keutamaan tersebut.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan