EKONOMI

INDRIVE UNJUR JUMLAH PEMANDU E-PANGGILAN DIGANDAKAN PADA AKHIR 2024

01/07/2024 03:25 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Syarikat e-panggilan inDrive mengunjuran pertumbuhan yang ketara di pasaran Malaysia, dengan menjangkakan jumlah pemandu dalam ekosistemnya digandakan menjelang akhir 2024 berbanding 10,000 pada masa ini.

Presiden kumpulan Mark Loughran berkata inDrive adalah aplikasi e-panggilan keempat terbanyak dimuat turun di Malaysia pada tahun lepas di samping muncul sebagai aplikasi e-panggilan kedua terbanyak di muat turun pada masa ini di serata dunia.

"Pertumbuhan ini boleh dikaitkan dengan peningkatan minat terhadap sistem pembidaan tambang inDrive yang unik, membolehkan penunggang dan pemandu membida harga yang dipersetujui bersama," katanya kepada Bernama.

Walaupun masih dalam peringkat awal, Loughran yakin ciri berkenan berpotensi besar untuk meningkatkan akses kepada pengangkutan mampu milik di samping memacu pertumbuhan aplikasi itu dan operasinya pada masa depan.

“Pada masa ini kami meliputi bandar-bandar utama di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru, serta Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Kota Kinabalu di Malaysia Timur, menawarkan perkhidmatan e-panggilan yang mudah diakses dan berpatutan,” katanya.

inDrive turut meramalkan perkhidmatan kurier dan antara bandarnya menjadi penyumbang utama kepada aliran pendapatan syarikat selain perkhidmatan asasnya e-panggilan.

“Kami menawarkan pelbagai perkhidmatan bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan, membolehkan kami menguasai bahagian pasaran yang lebih besar,” katanya.

Aplikasi ini turut menawarkan perkhidmatan pakar dalam aplikasi, membolehkan pengguna untuk memohon khidmat profesional bagi tugas seperti pembaikan dan pembinaan, pemasangan dan pembaikan alat, pembersihan, perkhidmatan haiwan peliharaan, perkhidmatan profesional, tutorial dan latihan serta perkhidmatan komputer dan teknologi maklumat.

“Kami akan terus menganalisis trend aliran pasaran dan maklum balas pelanggan untuk meningkatkan dan meluaskan tawaran kami dalam bidang ini manakala pelanggan pula akan terus menikmati model pembidaan kami yang menjanjikan harga yang wajar kepada semua pihak terlibat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan