SUKAN

MENANGI REMAJA ASIA BERI SUNTIKAN SEMANGAT UNTUK NICKHILESWAR BERSINAR DI KEJOHANAN REMAJA DUNIA

01/07/2024 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Pemain skuasy remaja negara M. Nickhileswar menyatakan kejayaan sensasinya pada Kejohanan Skuasy Remaja Asia ke-31 di Islamabad sebagai motivasi terbaik menjelang Kejohanan Remaja Dunia di Houston, Amerika Syarikat dari 12 hingga 23 Julai ini.

Pemain berusia 16 tahun itu menyasarkan untuk mengatasi pencapaian pada Kejohanan Remaja Dunia tahun lepas di mana dia tewas seawal pusingan 64.

“Ia adalah penggalak yang baik (Kejohanan Remaja Dunia). Seperti yang anda dapat lihat, kami mempunyai pemain yang bagus dalam acara berpasukan dan saya sangat menantikannya.

"Untuk acara individu, saya hanya mahu beraksi lebih baik daripada tahun lepas dan berharap boleh melakukannya dengan baik," katanya dalam rakaman audio yang dikongsikan kepada media.

Nickhileswar dinobatkan sebagai juara bawah 17 tahun (B-17) lelaki selepas menewaskan pemain Pakistan Abdullah Nawaz dalam lima set mendebarkan 9-11, 9-11, 12-10, 11-8, 11-6 yang mengambil masa 74 minit.

Sementara itu, juara B-19 perempuan U. Thanussa, gembira dengan pencapaiannya di Islamabad setelah kecewa dalam dua edisi sebelumnya akibat kecederaan.

Beliau berkata perhatiannya kini tertumpu kepada Kejohanan Remaja Dunia dan berharap dapat beraksi dengan baik dalam acara individu dan berpasukan.

Bagi Harleein Tan yang memenangi B-15 perempuan pula, dia tidak meletakkan sebarang sasaran dalam Kejohanan Remaja Dunia sulungnya kerana dia hanya mahu meraih pengalaman setiap detik di gelanggang.

Thanussa merangkul kejuaraan selepas menewaskan Akari Midorikawa dari Jepun 11-5, 11-7, 11-4, manakala Harleein muncul juara dengan menewaskan pemain Hong Kong Lo Pui Yin Chloe 11-8, 11-4, 11-6.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan