EKONOMI

MADU KELULUT, ROTI PRATHA, REMPAH DARI MALAYSIA DAPAT PERMINTAAN DI AS -- ENERSCORP

01/07/2024 06:12 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Firma penyelidikan pasaran berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Enerscorp International LLC, yang telah membantu 15 syarikat Malaysia dalam industri makanan menembusi pasaran di AS  bersedia untuk membantu 30 lagi pemain tempatan mengembangkan kehadiran mereka di negara itu menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norizan Sharif berkata Enerscorp, yang mempunyai pejabat di New Jersey, telah membantu syarikat Malaysia memasuki pasaran AS, yang mempunyai lebih 330 juta penduduk, sejak 2018.

 “Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah mengimport pelbagai jenis produk Malaysia ke AS, termasuk minuman, madu kelulut, gula apong, lada hitam dan lada putih Sarawak, rempah ratus, mi segera, makanan ringan, bijirin coklat, dan aiskrim,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Norizan berkata walaupun sambutan pengguna adalah berbeza-beza, tetapi produk Malaysia diterima dengan baik terutamanya dalam kalangan orang Kaukasia dan ‘Hispanic’(keturunan Amerika Latin).

“Roti pratha, sebagai contoh, sangat popular, sehinggakan ada pengeluar Asia Selatan lain memasarkan produk mereka sebagai roti pratha Malaysia. Ini jelas sekali menunjukkan kualiti tinggi dan daya tarikan produk tersebut.

“Dalam kalangan masyarakat Arab di AS pula, kacang campuran Malaysia, yang dikenali sebagai ‘kacang Malazie’, juga mendapat sambutan yang amat baik,” katanya.

Kacang campuran ini menawarkan gabungan perisa unik yang secocok dengan cita rasa komuniti tersebut, katanya, sambil menambah rempah Malaysia juga mendapat sambutan kerana keistimewaan dan kualitinya.

Norizan berkata untuk membangunkan strategi kemasukan pasaran syarikat, Enerscorp melihat bagaimana pertubuhan keuntungan dan bukan keuntungan di AS boleh menyokong program akses pasaran.

“Satu daripada pengaruh penting adalah Food Innovation Center (inkubator perniagaan) di Universiti Rutgers di New Jersey, yang mana Enerscorp menerima pakai program ‘soft-landing’ (Program untuk membantu syarikat asing menilai dan mengatur langkah mereka memasuki pasaran AS).

“Rangka kerja program itu memainkan peranan penting dalam membantu kami mewujudkan laluan berstruktur yang menyokong syarikat Malaysia memasuki pasaran AS,” katanya.

Sementara itu, Norizan berkata pemegang kepentingan tempatan juga menunjukkan minat terhadap inisiatif syarikat tersebut membangunkan platform bagi produk Malaysia di pasaran AS.

“Kami berbesar hati menerima kunjungan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR) dan ramai lagi.

“Lawatan mereka menunjukkan kepentingan misi kami dan menyediakan pandangan, sokongan dan pengalaman pembelajaran yang berharga kepada kami. Kami kini bersedia untuk meningkatkan lagi usaha kami,” katanya.

Menurutnya, Enerscorp sedang menjalankan eksperimen dengan memasarkan produk di pelbagai platform, termasuk kedai runcit, pemborong, dan pasaran dalam talian.

Kami merancang untuk terus mengembangkan rangkaian produk dan menambah baik strategi pasaran kerana syarikat menjangkakan pertumbuhan seterusnya hasil dan kehadiran pasaran, katanya.

“Kami gembira melihat beberapa produk ini juga sedang diuji dalam industri perkhidmatan makanan AS (seperti di restoran mewah) dan sebagai bahan kosmetik, yang akan mempelbagaikan potensi pasarannya. 

“Walaupun angka hasil (produk Malaysia) kami masih sederhana, namun ia menunjukkan trend menaik, mencerminkan minat dan penerimaan pengguna yang semakin meningkat,” katanya.

Mengenai cabaran untuk memasuki pasaran, Norizan berkata, AS mengenakan syarat-syarat kawal selia yang ketat untuk memastikan produk selamat digunakan dan dilabelkan dengan betul.

“Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) mengenakan piawaian ketat yang sama kepada pengeluar makanan tempatan dan asing.

“Peraturan utama termasuk Akta Pemodenan Keselamatan Makanan, yang mewajibkan pematuhan terhadap peraturan Amalan Pengilangan Baik Terkini, Pendaftaran Kemudahan Makanan dan Program Pengesahan Pembekal Asing (FSVP),” katanya.

Menurut Norizan, menangani cabaran ini memerlukan pelbagai pendekatan termasuk program latihan, peningkatan teknologi, pembangunan infrastruktur, peluang pembiayaan dan sokongan akses pasaran.

“Sebagai contoh, program penggalakan eksport Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) membantu syarikat Malaysia memahami dinamik pasaran antarabangsa dan mewujudkan rangkaian yang diperlukan.

“SME Corporation juga menyediakan latihan dan perkhidmatan pembinaan kapasiti untuk memastikan kesediaan runcit dan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata program ini menyediakan pendedahan amat bernilai dan peluang rangkaian bagi membantu menonjolkan daya tarikan produk Malaysia dalam pasaran.

Malaysia kini merupakan rakan dagangan ke-17 terbesar AS, dengan eksport terutamanya terdiri daripada produk berkaitan getah, mesin dan peralatan elektrik.

Menurut Matrade, pada 2023, perdagangan Malaysia dengan AS berjumlah RM250.25 bilion, yang menyumbang 9.5 peratus daripada jumlah perdagangan negara.

“Eksport ke AS pada 2023 merekodkan nilai kedua tertinggi setakat ini mencecah RM161.3 bilion, susut sebanyak 3.5 peratus berikutan penurunan eksport produk kayu, keluaran getah serta produk besi dan keluli,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan