DUNIA

TANAH RUNTUH DI JAWA TIMUR RAGUT DUA NYAWA, SEORANG HILANG

01/07/2024 06:46 PM

JAKARTA, 1 Julai (Bernama) -- Kejadian tanah runtuh di Blitar, Jawa Timur, pada petang Ahad telah  menyebabkan dua orang maut, seorang hilang dan seorang cedera parah, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).

Kejadian berlaku di Kampung Bumirejo, daerah Kesamben, disebabkan keadaan tanah yang tidak stabil pada ketinggian 20 meter, menyebabkan tanah runtuh sedalam lima meter.

Jurucakap BNPB Abdul Muhairi dalam satu kenyataan menyatakan bahawa mangsa termasuk pekerja ladang ayam dan pemilik ladang ayam itu.

"Mangsa yang hilang masih belum ditemukan dan proses pencarian masih dijalankan oleh Badan Pengurusan Bencana Daerah Blitar," katanya.

Dua jentera berat digunakan untuk kerja-kerja pencarian dan membersihkan sisa runtuhan tanah di lokasi terjejas.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan