AM

OPERASI PEMBERSIHAN, SELENGGARA PERPARITAN BESAR-BESARAN DI JOHOR

02/07/2024 04:20 PM

JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) -- Johor telah menggerakkan operasi pembersihan dan penyelenggaraan longkang serta parit secara besar-besaran bagi mengatasi isu banjir kilat di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kebiasaannya banjir kilat yang sering berlaku di kawasan bandar berpunca daripada longkang, sistem perparitan dan saliran yang tidak diselenggara dengan baik.

"Perkara ini dibincangkan semasa perjumpaan bersama semua agensi terlibat, seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah, serta syarikat-syarikat konsesi. 

"Mereka akan berjumpa dengan saya setiap bulan bagi melaporkan perkembangan (operasi yang dilakukan)," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Onn Hafiz turut menyeru masyarakat agar bekerjasama dalam menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata. 

"Semua komuniti masyarakat bersama-samalah dengan kerajaan negeri, agar kita dapat membangunkan negeri Johor yang bersih dan selesa demi kemaslahatan bersama. Insya-Allah," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan