JENAYAH & MAHKAMAH

USJT AMBIL ALIH SIASATAN KES SEBAR GAMBAR DIDAKWA MAYAT ZAYN RAYYAN

02/07/2024 04:26 PM

SHAH ALAM, 2 Julai (Bernama) -- Siasatan kes penularan gambar menerusi aplikasi Telegram yang didakwa kecederaan pada mayat kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Satu laporan polis berkaitan bahan bukti (didakwa berkaitan kes Zayn Rayyan) telah ditularkan dan siasatan itu kini diambil alih oleh USJT Bukit Aman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Ahad lepas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menerima laporan berkaitan penularan gambar berkenaan.

Hussein berkata berikutan itu, pihaknya giat melakukan siasatan sebelum kes diambil alih oleh Bukit Aman menerusi pasukan USJT.

Ditanya sama ada kemungkinan wujud penglibatan orang dalam berkaitan penyebaran gambar itu, beliau berkata perkara berkenaan sedang disiasat.

Sebelum ini, kertas siasatan kes pembunuhan yang didakwa melibatkan kes Zayn Rayyan turut tular.

Pada 6 Dis tahun lepas, mayat Zayn Rayyan ditemukan di anak sungai berhampiran kawasan kediamannya di Apartmen Idaman Damansara Damai pada 10 malam, sehari selepas dilaporkan hilang.

Pada 13 Jun, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.   

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan