EKONOMI

BANK ISLAM, WAQAF AN-NUR METERAI KERJASAMA PERKASA USAHAWAN MIKRO ITEKAD

02/07/2024 05:44 PM

JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) dan Waqaf An-Nur Corporation Bhd (Waqaf An-Nur) menandatangani perjanjian kerjasama untuk memperluas sokongan kepada golongan usahawan mikro di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata menerusi usaha sama strategik itu, Waqaf An-Nur menyalurkan sumbangan daripada manfaat wakaf korporat bernilai RM120,000 kepada Sadaqa House Bank Islam.

Beliau berkata sumbangan itu sebagai dana pusingan bagi menawarkan pembiayaan mikro iTEKAD kepada usahawan mikro untuk membantu menjana pendapatan mampan dan daya tahan kewangan perusahaan mikro dalam mengharungi cabaran semasa.

“Suntikan dana daripada Waqaf An-Nur kepada model kewangan islam Bank Islam memberi peluang peningkatan mobiliti dan kapasiti usahawan mikro dalam mengembangkan perniagaan dengan pembiayaan iTEKAD.

“Usaha itu sekali gus berupaya memperluas usaha kewangan inklusif kepada golongan usahawan mikro masyarakat rentan yang tidak dan kurang mendapat perkhidmatan perbankan,” katanya kepada pemberita pada majlis kerjasama Program Pembangunan Usahawan iTEKAD antara Waqaf An-Nur dan Bank Islam di sini pada Selasa.

Mohd Muazzam berkata model dana pusingan membolehkan lebih ramai usahawan mikro dibantu, berbanding pemberian geran perniagaan.

Beliau berkata usahawan yang dikenal pasti boleh menerima Pembiayaan Mikro iTEKAD BangKIT sehingga RM20,000 pada kadar kosong peratus.

“Dana ini akan dimanfaatkan bagi modal kerja dan perbelanjaan perniagaan usahawan yang mengambil bahagian dalam program iTEKAD, selain meningkatkan pengetahuan mereka melalui orogram pengurusan kewangan dan perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Pada majlis itu, Bank Islam turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM120,000 kepada tujuh institusi pengajian tinggi di Johor iaitu Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknologi Mara Pasir Gudang dan Segamat, Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Politeknik Ibrahim Sultan dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim. 

Mengulas lanjut, Mohd Muazzam berkata Sadaqa House sebagai pemacu kewangan sosial Bank Islam yang diiktiraf di peringkat global, diamanahkan untuk meneraju inisiatif kewangan sosial Bank Islam termasuk program pembiayaan mikro iTEKAD BangKIT dan iTEKAD Maju.

Beliau berkata program tersebut menyediakan pembiayaan dan geran serta dilengkapi dengan bimbingan keusahawanan berterusan bagi memastikan peserta yang layak mendapat bimbingan komprehensif dan mampu menjana pendapatan mampan.

“iTEKAD BangKIT dan iTEKAD Maju bermatlamat memperkasakan komuniti usahawan asnaf dan B40, mencerminkan dedikasi Bank Islam terhadap pembangunan ekonomi yang bersifat inklusif. Sehingga kini, lebih 1,200 usahawan kecil telah mendapat manfaat dengan pengeluaran lebih RM25 juta sejak diperkenalkan pada 2020.

“Bank Islam mempunyai matlamat yang sama dengan Waqaf An-Nur iaitu memajukan masyarakat kurang berkemampuan menerusi instrumen kewangan sosial Islam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan