AM

BAGAIKAN SAMBUT RAYA, TOK SIAH TERUJA MAHU PAKAI KEBAYA KELUAR MENGUNDI

02/07/2024 05:50 PM

Oleh Lucia Terey Anak John

NIBONG TEBAL, 2 Julai (Bernama) -- “Haa nak pi mengundi? Sat na, tok nak ambil baju, nak ambil kebaya pi mengundi.” Itu gelagat seorang pengundi wanita warga emas di Kampung Changkat Dain, Sungai Jawi di sini, apabila diajak untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini.

Selasiah Razak, 88, yang mesra disapa Tok Siah berkata dia suka mendengar perkataan ‘turun mengundi’ kerana yang terlintas di fikiran itu ialah masa terbaik untuk dirinya bersiap ibarat mahu menyambut Hari Raya.

Gemar menggayakan baju kebaya lama yang dihasilkannya sendiri setiap kali keluar mengundi, ibu kepada 11 orang anak itu berkata dia tidak pernah sekali pun melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan sudah 15 kali mengundi sejak pilihan raya umum pertama pada 1955. 

“Orang dulu-dulu suka pakai cantik-cantik bila nak ke satu majlis atau perayaan. Macam tok, tok suka jahit baju sendiri untuk acara seperti ini tapi dulu tak ada mesin, kena jahit guna tangan. 

“Sebab itu, pilihan raya ini tok nak pakai (baju kebaya) warna kuning, nak bagi meriah. Baju (pun) tok dah gosok, tinggal nak pakai saja bagi meriah sikit pilihan raya,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Changkat Dain, Sungai Jawi, baru-baru ini.

Selasiah adalah antara 508 pengundi berusia 80 tahun ke atas di DUN Sungai Bakap dan merancang bangun seawal mungkin pada hari pengundian itu bagi membolehkannya menunaikan tanggungjawab di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri. 

“Jika kesihatan mengizinkan, cucu akan bawa tok pi mengundi, naik motosikal pun takpa, janji boleh pi mengundi,” katanya yang lahir pada 1936 iaitu ketika pergerakan komunis sedang menular di Tanah Melayu (kini dikenali Semenanjung Malaysia) untuk menyebarkan kegiatan dan fahaman mereka kepada golongan belia, pekerja dan pelajar.

Selasiah berkata dahulu suasana pilihan raya sangat meriah kerana kempen diwarnai dengan lagu ‘Marilah Mengundi’ yang dimainkan di corong radio dan stesen televisyen yang menjadi satu-satunya pengantara antara kerajaan dan rakyat ketika itu, sambil diselangi dengan hebahan surat dan gambar mengenai calon bertanding.

“Riuh-rendah lagu tu, seronok (dengar). La ini (sekarang) tak berapa seronok sangat dah, mungkin (sebab) pemimpin (calon bertanding) ramai sangat, sat orang nu, sat orang ni,” katanya yang turut mengingatkan generasi muda agar tidak mengambil mudah soal menentukan masa depan negara melalui kotak undi.

PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

DUN Sungai Bakap mempunyai 39,279 pemilih berdaftar terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis dengan pengundi teramai berusia 21 hingga 29 tahun.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan