EKONOMI

LANGKAH RASIONALISASI SUBSIDI DIESEL BERJAYA BENDUNG AKTIVITI PENYELUDUPAN

02/07/2024 06:18 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Dalam masa kurang daripada sebulan, langkah berani kerajaan merasionalisasikan subsidi diesel mula menunjukkan hasil, terutamanya dalam membendung penyeludupan.

Berkuat kuasa 10 Jun 2024 kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter di semua stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, harga runcit bahan api diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada persidangan Dewan Rakyat berkata purata jualan harian diesel di Semenanjung Malaysia turun lebih daripada 30 peratus, membuktikan dengan jelas bahawa aktiviti penyeludupan berjaya dikurangkan.

Berita yang lebih baik, didapati stesen minyak di kawasan sempadan mengalami pengurangan jualan diesel sebanyak 40 hingga 50 peratus. 

Meskipun pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kritikan hebat berikutan mengambil langkah berani untuk merasionalisasikan subsidi berbanding langkah yang pernah dibuat sebelum ini, kesan positifnya jelas dilihat dalam tempoh yang singkat.

Terdahulu, Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2024 mendedahkan Malaysia kehilangan RM10 bilion akibat aktiviti penyeludupan diesel.

Ini adalah liabiliti kewangan yang tidak boleh dibiarkan berterusan dan sesuatu perlu dilakukan untuk membendung ancaman itu dan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengambil langkah pertama pada 10 Jun tahun ini.

Hakikat bahawa berlaku penurunan ketara dalam jualan diesel sejak penyasaran semula subsidi dimulakan dan jualan diesel komersial menunjukkan trend meningkat bukti jelas bahawa langkah rasionalisasi mengurangkan ketirisan bahan api berkenaan.

Ia telah mengurangkan insentif untuk menyeludup - satu ancaman yang berleluasa terutamanya di kawasan sempadan.

Ini kerana agak tidak munasabah apabila penggunaan diesel bersubsidi meningkat lebih 80 peratus, daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada 2023, walaupun tiada peningkatan ketara dalam kenderaan diesel.

Apa yang berlaku adalah sebanyak tiga juta liter diesel dikesan diseludup keluar negara setiap hari mengakibatkan kerugian harian RM4.5 juta, akibat kedua-dua sindiket tempatan dan asing yang bekerjasama untuk merompak hasil negara.

Dengan langkah rasionalisasi yang diambil kerajaan, ia dapat menjimatkan kira-kira RM4 bilion setiap tahun selepas kerajaan membelanjakan RM14.5 bilion untuk subsidi diesel pada 2023.

Pentadbiran Anwar juga harus dipuji kerana memberikan bantuan khas untuk kumpulan sasaran, termasuk inisiatif bantuan kewangan BUDI MADANI kepada pemilik kenderaan diesel B40 dan M40.

Skim subsidi diesel terdahulu dilihat banyak memberi keuntungan kepada warga asing berbanding rakyat Malaysia, menurut analisis, justeru itu, keadaan seperti itu tidak boleh dibiarkan berterusan.

Kerajaan dalam masa yang sama memberi amaran kepada penyeludup bahawa semua ketirisan subsidi akan dihentikan menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan yang akan dipergiatkan.

Dalam jangka panjang, rasionalisasi subsidi ini akan menyediakan lebih banyak dana untuk digunakan demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi dalam pelbagai cara, seperti yang dijanjikan oleh Anwar dan pentadbirannya bahawa faedah rasionalisasi subsidi pada akhirnya akan dikembalikan kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan